My Add

Saturday 28 January 2012

Tolak kehadiran pembangkang - Alexander

ALEXANDER Nanta Linggi menuang simen sebagai simbolik merasmikan pemasangan tiang asas bagi pembinaan rumah panjang baru Rumah Semut, Ulu Yong, Kapit, Sarawak, semalam.

KAPIT, SABTU, 28 Januari, 2012: Penduduk di bahagian ini diminta supaya menolak kehadiran pembangkang kerana mereka hanya pandai 'menanam tebu di tepi bibir', dengan kata lain hanya hadir bersama agenda politik yang mengelirukan rakyat dan bukannya membangunkan rakyat di kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, beliau menyedari kehadiran ahli dan pemimpin DAP ke Kapit sejak akhir-akhir ini yang cuba mempengaruhi penduduk rumah panjang untuk menentang kerajaan.

Menurutnya, kumpulan pembangkang yang datang ke Kapit itu didakwa telah mengapi-apikan penduduk tempatan untuk bangkit menyokong pembangkang.

''Sehubungan itu, saya mengingatkan orang ramai terutamanya pengundi di Kapit agar meneruskan sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menolak kehadiran pembangkang yang hanya akan timbul ketika menjelang pilihan raya.

''Jika pembangkang dapat menunaikan semua permintaan penduduk rumah panjang, kita tidak kisah kalau penduduk rumah panjang memilih mereka, namun itu tidak mungkin berlaku kerana mereka hanya pandai berjanji kosong dan hilang selepas pilihan raya," katanya pada Majlis 'Mangkung Tiang' (Pecah Tanah) di Rumah Panjang Semut, Ulu Yong dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat khususnya di kawasan luar bandar harus bersyukur memandangkan kerajaan telah banyak membantu membela nasib rakyat di luar bandar dengan menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti jalan, bekalan elektrik luar bandar (RES), sekolah, klinik dan sebagainya.

Bagaimanapun katanya, bagi kawasan yang belum menikmati kemudahan infrastruktur atau mendapat bantuan daripada kerajaan, mereka diminta supaya bersabar dan tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata pihak pembangkang yang sememangnya sentiasa mencari kesalahan kerajaan.

Sementara itu, beliau telah menyampaikan geran berjumlah RM13,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Semut bagi membantu 13 keluarga rumah panjang berkenaan membina rumah panjang baru.

Beliau turut menyampaikan geran bernilai RM5,000 kepada JKKK Rumah Lapik yang terletak bertentangan dengan Rumah Semut.

Terdahulu, Nanta telah merasmikan majlis 'Mangkung Tiang' bagi rumah panjang 25 pintu yang baru untuk Rumah Untang Anak Ansa di Ulu Sungai Yong kira-kira 500 meter dari Rumah Semut dan beliau turut menyampaikan geran sebanyak RM25, 000 ke rumah panjang berkenaan. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment