KUALA LUMPUR, ISNIN, 27 Februari, 2012: Malaysia berhasrat meningkatkan kerjasama dalam bidang pertanian dan perdagangan terutama eksport import dengan Thailand melalui hubungan koperasi antara kedua-dua negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama itu juga boleh mendatangkan manfaat melalui perkongsian kepakaran dalam pelbagai bidang.
''Walaupun pada masa ini sudah ada kerjasama antara koperasi Malaysia dan Thailand namun ia perlu diperkukuhkan melalui pembabitan kerajaan kedua-dua negara secara lebih formal bagi memudahkan pelaksanaan kerjasama tersebut,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail Sabri kini berada di Bangkok, Thailand bagi menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pasifik Ke-9.
Menurut beliau, hasrat untuk mewujudkan kerjasama tersebut telah disampaikan dalam pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Theera Wongsamut hari ini.
Menurut Ismail Sabri, kerjasama dua hala itu perlu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MOU) antara kementerian dengan kementerian.
Sebelum itu, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama Brunei, Pehin Dato' Haji Yahya Bin Bewawan Mudin.
Esok, Ismail Sabri akan membentangkan laporan Malaysia mengenai sokongan perundangan dan polisi kerajaan negara ini dalam membangunkan koperasi pada persidangan tersebut.
Beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Perhutanan Laos, Dr. Phouang Parisak Pravongviengkham serta Menteri Koperasi dan Usaha Kecil dan Menengah Indonesia, Dr. Syarifuddin Hassan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment