KUALA LUMPUR, ISNIN, 27 Februari, 2012: Pemilik hartanah di Jalan Sultan dan Jalan Petaling tidak akan menandatangani perjanjian bersama MRT Corp. untuk meneruskan pembinaan projek transit aliran massa (MRT) memandangkan syarikat itu tidak membuat sebarang rundingan bersama mereka mengenai perjanjian tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pemeliharaan Jalan Sultan, Stanley Yong berkata, bagaimana pemilik hendak menandatangani perjanjian tersebut sedangkan mereka tidak mengetahui apa yang terkandung di dalam perjanjian itu.
"Tindakan MRT Corp. yang mahu kami menandatangani perjanjian itu merupakan satu paksaan kerana kami masih dalam Perkara Perjanjian (PoA).
"Jika mereka (MRT Corp.) mahu kami menandatangani perjanjian bersama itu, mereka harus terlebih dahulu menyelesaikan perkara yang terkandung dalam PoA dan perjanjian bersama itu harus sah di sisi undang-undang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Azhar Abdul Hamid Jumaat lalu yang memberi tempoh sehingga akhir bulan ini untuk menandatangani perjanjian bersama itu sebelum kerajaan menggunakan akta yang berkaitan untuk mengambil alih tanah-tanah terlibat bagi meneruskan projek MRT.
Menurut Azhar, persetujuan bersama tersebut diperlukan berikutan projek MRT di Jalan Sultan dijangka bermula pada 2014.
Mengulas lanjut, Stanley berkata, MRT Corp. juga sebelum ini gagal memberi jaminan kepada mereka bahawa bangunan di sepanjang Jalan Sultan tidak akan terjejas jika projek MRT dijalankan.
Stanley menjelaskan, pihaknya akan membawa perkara tersebut ke pengetahuan Perdana Menteri dan akan turut menyertakan 300 tandatangan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyelaraskan laluan projek MRT itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment