My Add

Tuesday 28 February 2012

Lima lagi terima bantuan Tabung Budi

PETALING JAYA, ISNIN, 27 Februari, 2012: Sepasang warga emas yang bukan sahaja menghidap penyakit kronik tetapi juga perlu menyara empat cucu ceria apabila bekalan air ke rumah mereka disambung semula selepas dipotong pada 6 September tahun lalu.

Mereka adalah di antara lima keluarga penerima bantuan daripada program bantuan bekalan air Tabung Budi anjuran Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) yang diadakan di daerah Petaling baru-baru ini.

Abd. Aziz Bahari, 64, yang menghidap penyakit buah pinggang, jantung, paru-paru dan darah tinggi hanya bergantung harap kepada pencen bulanan sebanyak RM200 dan bantuan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 untuk menyara diri dan isterinya selain empat cucu yang masih bersekolah.

Dia turut menerima bantuan daripada Pusat Zakat Selangor dan bantuan mesin dialisis daripada Jabatan Perkhidmatan Awam manakala isterinya pula menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan terdapat ketumbuhan pada hatinya.

Akibat mempunyai tunggakan bil air sebanyak RM728.83, bekalan air ke premis mereka yang menginap di Kampung Lindungan, Sungai Way telah dipotong pada 6 September tahun lalu.

Presiden Peka, Datuk Mohd. Yunus Mohd. Amin berkata, bantuan yang diberikan oleh Peka melalui dana Tabung Budi merangkumi pembayaran sepenuhnya tunggakan bil air, bayaran penyambungan semula bekalan dan bayaran bil untuk tempoh enam bulan.

"Sehingga hari ini, sebanyak 204 keluarga (di seluruh Selangor) telah menerima manfaat daripada program Tabung Budi ini," katanya.

Sementara itu, Ibrahim Mohd. Wazir, 47, dari Kampung Baru Sri Puchong, Batu 13, Jalan Klang Lama turut menerima bantuan Tabung Budi selepas bekalan air ke rumah mereka dipotong sejak 30 Mac tahun lalu.

Pengawal keselamatan mempunyai tunggakan bil air berjumlah RM1,328.66 yang dipercayai berpunca daripada kebocoran pada sistem paip dalaman rumah mereka.

Penerima lain ialah Mohd. Razuki Husin dari Batu 13 Jalan Klang Lama, Puchong; Noryzan Darnoh dari Kampung Merbau Sempak Tambahan, Sungai Buloh dan Mohd. Azman Yahya dari Kampung Melayu, Subang.

Penolong Pengurus Besar (Pengebilan dan Pemulihan) Syabas Wilayah Petaling, Mohd. Zahir Mohd. Hasan menyampaikan bantuan berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment