My Add

Tuesday 28 February 2012

Nadi UMNO Cheras bantu Rahimah

KUALA LUMPUR, ISNIN,  27 Februari, 2012: Seorang penghidap kanser tulang yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) meluahkan rasa gembira apabila menerima sumbangan daripada Nadi UMNO Bahagian Cheras.

Sumbangan berupa mesin air terapi, makanan dan wang tunai sebanyak RM500 itu diterima oleh Rahimah Hussain, 51, yang hanya mempunyai kaki kanan kerana kaki kirinya terpaksa dipotong akibat kanser tulang.

Rahimah yang tinggal di ibu kota bersendirian berkata, walaupun mempunyai tiga orang adik-beradik, namun mereka tidak mahu menjaganya.

"Biarlah saya hidup sebatang kara begini. Walaupun cacat, namun saya bersyukur kerana masih mampu menguruskan diri sendiri dan bersyukur kerana setiap bulan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Pungutan Zakat ada memberi bantuan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Nadi UMNO Bahagian Cheras, Zurainah Musa ketika ditemui berkata, sumbangan tersebut diharap dapat membantu Rahimah menjalani rutin harian dengan lebih selesa.

"Pihak UMNO Bahagian Cheras menerusi Nadi akan terus memberi bantuan mengikut keperluan Rahimah. Selepas ini kami akan memberi kerusi roda bermotor bagi memudahkan dia yang tinggal di tingkat lima bergerak," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Rahimah.

Tambahnya, selain kerusi roda tersebut, pihaknya akan turut mengubah suai rumah Rahimah bagi memudahkan dia untuk melakukan aktiviti harian.

"Antaranya mengubah plug elektrik ke bawah dan menambah tempat memegang di dinding rumah memandangkan selama ini dia hanya bergerak menggunakan papan beroda.

"Keadaan ini amat menyedihkan, lebih-lebih lagi Rahimah tidak mempunyai suami dan anak-anak," jelasnya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh melakukannya menerusi akaun Public Bank, 3141 4637 05 milik Rahimah Hussain. -UTUSAN

No comments:

Post a Comment