My Add

Monday, 27 February 2012

4 kementerian bincang lokasi pelupusan sisa Lynas

PETALING JAYA, ISNIN, 27 Februari, 2012: Empat kementerian sedang berbincang mengenai lokasi bersesuaian bagi menempatkan pelupusan bahan sisa kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation (Lynas) di Gebeng, Pahang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini. 

Beliau berkata, perbincangan yang diadakan baru-baru ini akan memberi penyelesaian yang menguntungkan semua pihak bagi menangani isu ini dengan lebih membina.

Koh, bagaimanapun, enggan mendedahkan butiran mengenai langkah terbaru yang membabitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Kesihatan; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

"Walaupun kerajaan sudah menjelaskan faedah dan manfaat projek Lynas kepada orang ramai tetapi pihak berkepentingan masih menimbulkan isu yang bermotifkan politik. 

"Saya sudah bercakap mengenai isu berkenaan di dalam Kabinet dan rakan Jemaah Menteri sudah membuat kenyataan meminta Lynas memindahkan pelupusan bahan sisa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan portal mencari pekerjaan bagi rakyat Malaysia yang berkelainan upaya, okujobs.com.my di sini hari ini. 

Koh mengulas isu kilang pemprosesan nadir bumi itu yang mencetuskan kempen anti Lynas oleh parti pembangkang yang menganjurkan demonstrasi Himpunan Hijau 2.0 di beberapa bandar semalam. 

Koh berkata, media seharusnya melaporkan mengenai keputusan terkini untuk memindahkan pelupusan bahan sisa kerana ia berkaitan peranan Barisan Nasional untuk melindungi kepentingan orang ramai, alam sekitar dan kilang berkenaan.
"Menyokong hanya satu tanda, tanda sokongan tidak begitu penting tetapi penyelesaian masalah lebih utama," katanya ketika ditanya wartawan mengenai pendiriannya terhadap Himpunan Hijau. 

Mengenai insiden dua petugas media yang cedera semasa demonstrasi anti Lynas di Pulau Pinang semalam, Koh berkata: 

"Saya menentang keras sebarang keganasan pada mana-mana perhimpunan aman. Perhimpunan aman mestilah aman. Saya menyeru siasatan terperinci dilakukan terhadap mereka yang terlibat, punca kekecohan kerana saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak." - BERNAMA

No comments:

Post a Comment