SHAH ALAM, ISNIN, 27 Februari, 2012: UMW Holdings Bhd hari ini memperbaharui kerjasama dengan Mercy Malaysia, menyediakan dana melebihi RM1.8 juta dan lebih 3,000 jam sokongan sumber tenaga kepada organisasi bukan membuat keuntungan itu.
Kumpulan itu juga melancarkan Skim Potongan Gaji Pekerja untuk manfaat Mercy Malaysia, pada majlis menandatangani perjanjian antara Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings, Datuk Syed Hisham Syed Wazir dan Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, di sini.
"Lebih daripada 11,000 orang memperoleh manfaat daripada program yang dilaksanakan menerusi usaha sama UMW-Mercy Malaysia sejak ia ditubuhkan pada Disember 2008,” kata Syed Hisham.
Program itu termasuk misi klinik bergerak yang menyediakan pemeriksaan perubatan asas secara percuma, ujian pap smear, rawatan gigi, pemeriksaan mata dan cermin mata membaca secara percuma untuk penduduk di kawasan terpencil.
Keselamatan kebakaran dan bantuan banjir selain kumpulan intervensi bagi penyalahgunaan alkohol juga merupakan sebahagian daripada kerjasama itu.
"Dari 2009 hingga 2011, UMW memperuntukkan RM1.2 juta sebagai sokongan kewangan kepada Mercy untuk menjalankan aktivitinya di Sabah dan Sarawak, yang termasuk kenderaan Toyota, dan tahun ini, UMW akan menawarkan sokongan kewangan untuk aktiviti Mercy Johor serta program Pengurangan Risiko Bencana bagi mereka yang kurang upaya di Selangor,” katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment