My Add

Tuesday 28 February 2012

Korporat diseru jayakan program1Murid 1 Sukan

PUTRAJAYA, ISNIN, 27 Februari, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu syarikat korporat dan swasta bekerjasama menjayakan program 1Murid 1Sukan menerusi sumbangan penajaan.

Beliau berkata, sumbangan kepada pihak sekolah itu boleh berupa bentuk penajaan produk dan bantuan-bantuan lain yang bersesuaian.

Langkah tersebut, katanya, secara tidak langsung memberi peluang kepada syarikat korporat bersama-sama melibatkan diri dalam membangunkan bidang sukan dalam kalangan 5.1 juta murid di 10,000 sekolah di seluruh negara.

"Pembangunan sukan ini penting ke arah pembentukan modal insan yang cemerlang melalui penyertaan murid secara aktif dalam bidang itu.

"Kejayaan dalam membangunkan kecemerlangan sukan bukan hanya melibatkan pihak kementerian semata-mata malah penglibatan syarikat-syarikat korporat diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa taklimat pada Majlis Bersama Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pelajaran Bagi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sukan Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan wakil daripada 27 syarikat korporat.

Muhyiddin berkata, antara program yang boleh disertai oleh rakan penaja berupa penganjuran dan pengelolaan semua jenis aktiviti sukan peringkat sekolah hingga ke peringkat antarabangsa; menyelenggara kemudahan prasarana dan peralatan sukan serta menaja ikon atlet sukan sekolah.

Katanya, penglibatan syarikat korporat turut memberi peluang kepada mereka untuk mempromosikan produk-produk masing-masing di premis sekolah.

"Mungkin selepas ini kita boleh lihat ada sekolah yang akan mempamerkan identiti korporat mana-mana syarikat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment