My Add

Monday 27 February 2012

Terpulang kepada mereka untuk kekal EXCO: Azizan

ALOR SETAR, ISNIN, 27 Februari, 2012: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata terpulang kepada Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh sama ada mereka mahu kekal sebagai EXCO kerajaan negeri atau tidak.

Katanya, beliau tidak dapat memastikan bahawa kedua-dua EXCO itu akan kekal walaupun Jawatankuasa PAS Pusat sudah memutuskan bahawa semua EXCO kerajaan negeri Kedah akan kekal untuk tempoh setahun lagi.

Beliau berkata, walaupun Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali, berkata parti itu akan mengambil tindakan yang sepatutnya bagi memastikan semua 10 EXCO itu kekal, namun ia tetap terpulang kepada Phahrolrazi dan Dr Ismail.

"Jika jawatankuasa parti mahu semua 10 EXCO kekal, saya boleh patuh tetapi adakah kedua-dua mereka mahu kekal sebagai EXCO," katanya di sini hari ini.

Phahrolrazi dan Dr Ismail sudah menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan mereka dilantik semula ke jawatan itu yang dijadual diumum esok.

Phahrolrazi adalah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga, selain Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah.

Dr Ismail pula adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri di samping menjadi Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah.

Mereka dipercayai berbuat demikian kerana kecewa dengan sikap serta kepemimpinan Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini.

Azizan berkata, beliau belum dihubungi Jawatankuasa PAS Pusat berkenaan isu itu.

Majlis pelantikan anggota EXCO kerajaan negeri Kedah bagi 2012 akan diadakan di Istana Anak Bukit di sini esok.

Lapan anggota EXCO kerajaan negeri Kedah sudah menerima tawaran pelantikan semula untuk menyandang jawatan berkenaan bagi 2012 dan akan mengangkat sumpah esok. Dua lagi EXCO yang mungkin muka baru akan berbuat demikian kemudian.

Mustafa, pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini, dilaporkan berkata PAS Pusat melihat wujud keperluan untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri Kedah yang berhadapan dengan kemelut berkaitan pelantikan anggota EXCO.

Beliau berkata, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, akan ke Kedah esok bagi mengadakan pertemuan dengan Azizan dan anggota EXCO berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment