KAKITANGAN SPR membantu mengisi borang Ungku Azila Ungku Abdul Rahman (berdiri) dan Puzayah Ismail untuk menukar alamat pengundian di Kluang, kelmarin.
KLUANG, ISNIN, 27 Februari, 2012: Seorang penduduk berusia 53 tahun merupakan antara yang mendaftar sebagai pemilih buat pertama kali di kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Taman Sri Lambak di sini semalam.
Kakitangan SPR yang bertugas di kaunter itu, Mohd. Shaiful Bahari berkata, individu tersebut yang dirahsiakan identitinya baru mendapat taraf kewarganegaraan dan berhasrat menggunakan haknya sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi.
Kaunter SPR itu dibuka bermula pukul 8 pagi sehingga 2 petang sempena sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan yang dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menurut Mohd. Shaiful, sehingga pukul 12 tengah hari, seramai 50 individu mendaftar sebagai pemilih di kaunter itu manakala 20 melakukan urusan menukar alamat pengundian.
Sementara itu seorang pesara, Yaakob Hashim, 57, berkata, dia berkunjung ke kaunter SPR untuk menukar alamat mengundi dari Bandar Tenggara, Kulaijaya ke Taman Sri Lambak kerana telah berpindah ke situ sejak dua tahun lalu.
"Saya sudah mengundi mungkin lebih daripada lima kali dan tidak mahu ketinggalan mengundi pada pilihan raya umum kali ini.
"Saya harap generasi muda jangan leka dan jangan mensesiakan hak untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang dapat membela bangsa, agama dan negara," katanya.
Aban Alan, 35, pula berkata, dia akan mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan mengunjungi kaunter SPR untuk melakukan semakan pendaftaran.
"Bagus buka kaunter begini, senang untuk daftar mengundi dan boleh menyemak pendaftaran yang dibuat," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment