My Add

Tuesday 28 February 2012

222 Job Coach untuk OKU di seluruh negara

PULAU PINANG, ISNIN, 27 Februari, 2012: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan pusat perkhidmatan Job Coach di 222 kawasan Parlimen bagi melatih orang kurang upaya (OKU) memasuki sektor pekerjaan menjelang hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ketika ini sebanyak 150 pusat berkenaan telah beroperasi namun kerajaan berharap kesemua 222 kawasan Parlimen mempunyai seorang jurulatih khas untuk melatih OKU menyesuaikan diri di tempat kerja.

Katanya, perkhidmatan itu akan membuka lembaran baru kepada mereka yang sebenarnya mempunyai bakat dan potensi besar, malah statistik menunjukkan sebanyak 94 peratus daripada mereka yang bekerja masih kekal dengan pekerjaan itu selepas tiga tahun.

"Usaha ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan OKU dan mereka tidak pernah dipinggirkan dalam konteks pembangunan negara," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar pelancaran Job Coach Untuk OKU di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hadzir Md. Zain dan Ketua Cawangan Japan International Cooperation Agency (JICA) cawangan Malaysia, Nagae Tsutomu.

Melalui program itu Shahrizat berkata, kementerian bekerjasama dengan JICA dari Jepun sejak lebih 30 tahun lalu bagi melatih OKU menyesuaikan diri dengan lebih baik di tempat kerja, mencari kerja yang sesuai, mewujudkan sokongan semulajadi dan membina hubungan yang baik dengan majikan.

"Program Job Coach di Jepun merupakan antara yang terbaik di dunia. Kami telah menghantar 22 pegawai ke sana termasuk enam yang ditaja syarikat swasta untuk mempelajari kepakaran ini daripada mereka.

"Pegawai Job Coach akan dilatih dalam kalangan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), pekerja sektor swasta dan kerajaan serta individu yang berminat," katanya.

Menurut Shahrizat, sebagai permulaan sebanyak RM148,000 akan diperuntukkan sebagai bayaran elaun bagi pelaksanaannya tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Shahrizat berkata, kementerian meluluskan peruntukan sebanyak RM16 juta kepada JKM Pulau Pinang walaupun bukan berada di bawah pemerintahan kerajaan Pusat berbanding RM5 juta yang diperuntukkan kerajaan negeri.

Sementara itu, ketika melawat D'Home Mental Health Association di Pulau Tikus, Shahrizat mengumumkan peruntukan berjumlah RM100,000 bagi membolehkan pelbagai program memulihkan pesakit mental dijalankan.

Selain itu, pihaknya juga akan melatih kakitangan JKM dalam aspek pengendalian pesakit mental dan sebanyak 6,900 orang yang mengalami masalah mental telah berdaftar dengan kementerian dan mendapat manfaat sama seperti dinikmati OKU lain. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment