My Add

Tuesday 28 February 2012

Pengajian keusahawanan perlu diperluas

RUJHAN Mustafa (dua dari kanan) mendengar pandangan Canselor The State University Of New York, Dr. Nancy Zimpher (kanan) ketika menghadiri Forum Pendidik Keusahawanan Nasional Kali Pertama di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA, ISNIN, 27 Februari, 2012: Pendidikan keusahawanan tidak harus dilihat dari perspektif melahirkan usahawan semata-mata tetapi perlu diperluas kepada aspek penyemaian nilai-nilai berkaitan perniagaan kepada pelajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu penting untuk dijadikan asas melahirkan graduan yang mampu bersaing dalam persekitaran mencabar.

Katanya, pendekatan tersebut dapat memperkukuhkan peranan ahli akademik dalam meningkatkan taraf pendidikan keusahawanan di peringkat institusi pengajian tinggi.

"Pendekatan ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

"Oleh itu, pihak kementerian akan melakukan apa sahaja untuk membantu negara mencapai impian tersebut kerana setiap ahli akademik mempunyai sumbangan yang signifikan untuk merealisasikannya," katanya ketika berucap merasmikan Forum Pendidik Keusahawanan Nasional Kali Pertama (NEF2012) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa.

Forum tersebut merupakan anjuran bersama Kementerian Pengajian Tinggi dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Menurut Mohamed Khaled, bidang keusahawanan merupakan mekanisme terbaik untuk transformasi penciptaan saintifik kepada produk baru dan inovasi pada masa akan datang.

"Ini kerana universiti dan kolej teknikal perlu dijadikan 'enjin' untuk sebarang penciptaan saintifik dan pembangunan teknologi.

"Sehubungan itu, pihak IPT perlu memainkan peranan dalam mempromosi bakat pelajar, graduan dan penyelidik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment