My Add

Tuesday 28 February 2012

Sidang khas agar undang-undang murtad diwujudkan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 27 Februari, 2012: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memohon Majlis Raja-raja Melayu mengadakan sidang khas agar satu undang-undang murtad yang seragam di seluruh negara diwujudkan untuk membendung gejala itu.

Setiausaha Agungnya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, undang- undang tersebut hendaklah dikuatkuasakan pihak berkuasa agama dan dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Menurutnya, kesalahan menjalankan kegiatan cuba memurtadkan umat Islam selama ini sepatutnya boleh didakwa di Mahkamah Sivil namun sehingga kini penguatkuasaannya masih menjadi tanda tanya.

Menurutnya, enakmen negeri-negeri mengenai murtad sudah wujud kecuali beberapa negeri yang masih belum mewujudkan undang-undang berkenaan.

"Sehubungan itu Mapim berpendapat satu akta yang khusus dan seragam perlu digubal untuk memastikan permohonan pertukaran agama daripada Islam kepada agama lain dapat dihalang.

"Kami dapati kini wujud undang-undang yang tidak selaras antara negeri-negeri dan ini menyebabkan berlakunya beberapa peruntukan yang longgar mengenai isu murtad," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Azmi berkata, tindakan perlu diambil untuk memperkemaskan peruntukan undang-undang berkenaan demi mengekang gejala tersebut.

Katanya, Mapim berpendapat akibat kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang menyebabkan umat Islam terdedah kepada agenda pihak tertentu yang mahu mencari peluang untuk menggugat akidah umat Islam.

Menurutnya, kelemahan penguatkuasaan adalah punca undang-undang murtad itu tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.

"Sehubungan itu, Mapim merayu Majlis Raja-Raja Melayu memberi perhatian serius kepada masalah pegangan akidah umat Islam yang perlu dilindungi bukan sahaja dengan pendidikan dan kesedaran, malah diperkukuhkan melalui perundangan kerana Islam menganggap murtad adalah termasuk dalam bidang jenayah agama itu,'' katanya.

Mohd. Azmi berkata, penyelerasan undang-undang murtad perlu dilakukan bagi memastikan tidak ada negeri di negara ini yang membolehkan seseorang itu mengisytiharkan dirinya keluar daripada agama Islam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment