KUALA LUMPUR, ISNIN, 27 Februari, 2012: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memuji usaha Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dalam meningkatkan persekitaran perniagaan di Malaysia dan membantu memacu negara ketika ekonomi dunia kini tidak bergerak, malah ada ekonomi yang mencatat penurunan.
Ini katanya, dilakukan seiring langkah-langkah berani dan bercita-cita tinggi kerajaan menerusi Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Inisiatif Reformasi Strategi Negara.
"Anggota Pemudah sudah lima tahun berusaha meningkatkan persekitaran perniagaan di Malaysia, dan saya ingin memberi jaminan bahawa segala sumbangan anda, biar sekecil mana pun, dihargai,” kata Najib dalam ucapan pada majlis pelancaran Laporan Tahunan Pemudah 2011, di sini malam ini.
Perdana Menteri bagaimanapun berkata, sekarang bukan masanya untuk berada dalam zon selamat memandangkan masalah fiskal terus berlaku di zon Euro, sebahagian besar negara di Timur Tengah masih dibelenggu masalah sosial dan krisis politik serta kebimbangan yang semakin meningkat bahawa ekonomi China yang selama ini maju, menuju hari-hari suramnya akibat kemelesetan dunia.
"Walaupun kita perlu berwaspada terhadap persekitaran luaran, kita tidak boleh membiarkan diri kita terganggu daripada memenuhi cabaran di dalam negara.
"Berdasarkan ekonomi kita berdaya pulih yang baik, kita harus memastikan Malaysia menyediakan persekitaran perniagaan yang menarik untuk menarik pelabur luar dan pelaburan tempatan,” katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment