Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
SIPITANG, ISNIN, 27 Februari, 2012: Kerajaan memperuntukkan RM423 juta bagi menaik taraf Jalan Pan Borneo sepanjang 2,230 kilometer melibatkan laluan utama di Sabah dan Sarawak.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, kerja menaik taraf jalan utama di Borneo itu dimulakan pertengahan tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2015.
"Kerja akan dilakukan secara berperingkat di mana tahun ini sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi menaik taraf jalan melibatkan RM50 juta di Sabah dan RM50 juta di Sarawak.
"Kerja menaik taraf ini perlu kerana sebahagian besar daripada jalan ini dibina pada 1970-an," katanya selepas melakukan tinjauan projek naik taraf Jalan Kota Kinabalu-Sindumin di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Ahmad Bujang; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Noor Yaakob; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Himmat Singh dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. John Anthony.
Tambah Shaziman, projek dalam Rancangan Malaysia Ke-10 itu melibatkan usaha menaik taraf laluan utama, membina laluan memotong, menukar pembetung dan membina laluan yang sering dilanda banjir.
Menurutnya, projek-projek laluan utama adalah menaik taraf Jalan Miri ke Pandaruan bernilai RM100 juta, pakej kedua jalan Miri-Pandaruan-Sungai Tujuh (RM42 juta), Jalan Mengkalap-Sindumin (RM108 juta) dan Sindumin-Kota Kinabalu (RM120 juta).
Dalam pada itu Shaziman memberitahu, kenderaan membawa lebih muatan dikenal pasti menjadi punca utama menyebabkan jalan raya di negeri ini sering mengalami kerosakan.
Justeru, beliau akan meminta kerjasama Kementerian Pengangkutan bagi mempergiatkan lagi tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan berkenaan.
Sementara itu katanya, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi membaik pulih Kilometer 120 Jalan Kota Kinabalu-Sandakan yang terputus akibat tanah mendap.
Jelasnya, pada masa ini laluan sementara telah dibuka sebelum laluan kekal siap dibaiki dalam tempoh kira-kira dua bulan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment