My Add

Wednesday 1 February 2012

Hasan Ali 'Budak suruhan UMNO' - Khalid Samad

SHAH ALAM, RABU, 01 Februari, 2012: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad menganggap bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Hasan Ali tidak memahami maksud parasit sebenar apabila secara terang-terangan menamakan beliau sebagai pemimpin Pas yang dianggap 'parasit' dalam parti itu.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor yang pernah digugurkan daripada jawatan itu ketika Pas negeri diterajui oleh Hasan berkata, tuduhan tersebut tidak tepat kerana beliau adalah ahli dan pemimpin Pas yang berada dalam 'batang tubuh' parti sejak sekian lama sedangkan parasit adalah suatu benda asing yang hidup dengan cara menumpang pihak lain.

Sebaliknya kata beliau, pihak yang berada di luar Pas dan hanya boleh hidup dengan menumpang isu membabitkan parti itu sebenarnya adalah parasit.

"Parasit adalah jenis yang tinggal atas induk macam pokok asing tinggal atas pokok besar tetapi saya tidak boleh menjadi parasit kerana saya merupakan sebahagian daripada batang tubuh parti.

"Tidak seperti orang yang hidup dengan isu Pas tetapi dia adalah orang asing yang mana jika tidak ada isu Pas, dia tidak boleh hidup, dia menjadi popular atas isu Pas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Hasan yang menamakannya sebagai parasit dalam Pas ketika berceramah dalam program Bicara Memurnikan Akidah Ummah di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17 di sini malam semalam.

Hasan dipetik sebagai berkata, Ahli Parlimen Shah Alam itu sering kali dilihat menyebarkan fahaman yang tidak menyebelahi Islam selain merupakan individu paling lantang menentang usahanya untuk melarang penjualan minum keras di kedai-kedai runcit di kawasan penempatan majoriti orang Melayu.

Khalid juga didakwa adalah individu yang beria-ia mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika agensi agama itu menyerbu sebuah premis yang dikatakan sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) meskipun pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penganjuran satu majlis yang bermatlamat bagi menyelewengkan akidah umat Islam di negeri ini.

Khalid yang sudah lebih 30 tahun berada dalam Pas berkata, Hasan sebenarnya sudah menjadi alat UMNO apabila membuat kenyataan supaya para pengundi di Parlimen Shah Alam agar tidak mengundinya lagi pada pilihan raya umum akan datang.

"Kalau tidak beri undi kepada Khalid Samad, kepada siapa lagi? Sudah tentu kepada UMNO. Ini bukti Hasan sudah menjadi budak suruhan UMNO," katanya.

Malah katanya, dakwaan itu jugalah yang menjadi punca mengapa Hasan tidak dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas negeri dan terpaksa dikeluarkan daripada parti meskipun sebenarnya beliau tidak mempunyai harapan dalam UMNO.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, isu penjualan arak yang dibangkitkan oleh Hasan sebenarnya merupakan cadangan anggota Pas Shah Alam sendiri yang merupakan Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBA).

"Ahli kita yang bawa usul supaya kedai-kedai serbaneka yang beroperasi di kawasan majoriti orang Melayu tidak menjual arak. Kita gunakan kaedah lembut, pujuk rayu, adakan penerangan secara 'bil hikmah' dan bukannya buat cara samseng dengan merampas arak berkenaan.

"Bukannya buat dengan sesuka hati kerana ada peraturannya mengikut akta dari Pusat bahawa kedai-kedai seumpama itu tidak perlu memohon lesen khas," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment