My Add

Friday 10 February 2012

Haji Ekspres: Dua kakitangan Tabung Haji didakwa


JURUANALISA sistem, Afizul Md Yasin, 34, (kanan) dan kerani Tabung Haji, Roslan Mohamed Som (tengah) dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas tuduhan membabitkan kesalahan membuat pengubahsuaian kandungan pangkalan data Sistem Haji dan menerima rasuah bagi membolehkan 27 jemaah yang tidak layak menunaikan haji pada 2010 dapat pergi pada tahun berkenaan. - Foto Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Seorang juruanalisis kanan di Jabatan Teknologi Maklumat Lembaga Tabung Haji dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga tuduhan mengubah suai kandungan data jemaah haji di Lembaga Tabung Haji, bagi melangkaui giliran mengerjakan ibadah haji, dua tahun lalu.

Sementara rakan sekerjanya, seorang kerani turut menghadapi dakwaan menerima rasuah RM6,750 sebagai upah menolong menguruskan nama-nama jemaah haji pada tahun 2010 yang tidak layak menunaikan haji.

Juruanalisis, Afizul Md. Yasin, 34, dan kerani, Roslan Mohamed Som, 47, masing-masing mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Afizul didakwa menggunakan komputer yang didaftarkan dengan model Elite Book 6930p membuat capaian ke pangkalan data Tabung Haji dan memasukkan rekod jemaah haji dengan menggunakan program khas Win SQL tanpa kuasa.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya sedangkan dia mengetahui bahawa ia akan menyebabkan pengubahsuaian kandungan pangkalan data sistem haji untuk syarikat itu.

Afizul didakwa melakukan perbuatan itu pada tiga waktu berbeza iaitu antara pukul 11 malam dan 11.30 malam pada 10 Jun 2010, antara pukul 2 petang dan 3.12 petang pada 12 Julai 2010 serta antara pukul 10.55 pagi dan 11.20 pagi pada 14 Julai 2010.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan di tingkat 13, Jabatan Teknologi Maklumat Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji, di sini.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(4) akta sama.

Sementara Roslan yang bertugas di bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Tabung Haji pula didakwa menerima suapan RM6,750 daripada Samsudin Ibrahim sebagai upah menolong melayakkan jemaah haji yang tidak layak menunaikan haji pada 2010 supaya dapat menunaikan ibadat itu pada tahun tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 3.30 petang dan 4 petang, 15 Julai 2010 di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulqarnain Hassan mencadangkan jaminan RM300,000 bagi setiap tertuduh atas alasan ia merupakan kes yang serius memandangkan nama kesemua 27 jemaah haji telah berjaya dimasukkan dalam senarai jemaah yang pergi ke Mekah pada 2010.

Menurut beliau, perbuatan kedua-dua tertuduh telah mencemarkan nama baik Tabung Haji.

Afizul ketika merayu jumlah jaminan yang lebih rendah mendakwa dia menyara keperluan seorang isteri, empat anak, bekas isteri dan seorang anak dengan isteri pertamanya.

Roslan pula menyatakan, dia menyara dua anak dan seorang isteri yang mempunyai sakit mental.

Rozilah membenarkan mereka berdua dijamin RM20,000 setiap seorang dan mengarahkan pasport antarabangsa mereka diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 23 Februari ini bagi memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam bela serta penyerahan dokumen berhubung pertuduhan.

Kedua-dua tertuduh dilepaskan selepas membayar jaminan masing-masing.

Kedua-dua tertuduh didakwa di mahkamah tidak sampai seminggu selepas Utusan Malaysiamenyiarkan laporan sindiket 'haji ekspres' dalam satu pendedahan eksklusif akhbar itu pada Sabtu lalu.

Menurut laporan itu, sindiket tersebut yang dianggotai oleh pegawai Tabung Haji dan beberapa bekas kakitangannya telah dikesan beroperasi sejak 2009 dengan menawarkan orang ramai menunaikan haji lebih awal daripada jadual yang ditetapkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment