My Add

Monday 27 February 2012

Abdullah Jusoh, Yahya Abdullah disebut-sebut calon Exco baru

ALOR SETAR, AHAD, 26 Februari, 2012: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh dan ADUN Jeneri, Yahya Abdullah disebut-sebut sebagai calon Exco kerajaan negeri yang baru bagi 2012 jika berlaku kekosongan jawatan itu dalam tempoh terdekat ini.

Sumber terdekat dengan Menteri Besar memberitahu, nama dua wakil rakyat itu menduduki senarai teratas untuk dilantik jika dua penyandang exco sedia ada 'tidak muncul' pada majlis mengangkat sumpah pada Selasa ini hingga tarikh luput jawatan mereka pada 7 Mac ini.

"Abdullah sudah mempunyai pengalaman sebagai Exco sebelum ini maka ia adalah satu kelebihan baginya," kata sumber tersebut kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada sidang akhbarnya hari ini memberitahu, hanya lapan exco dijangka mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, Selasa ini manakala baki dua exco lagi boleh berbuat demikian kemudian.

Dua exco kanan kerajaan negeri iaitu Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr. Ismail Salleh sebelum ini dikatakan menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu, yang dijadual pada Selasa ini.

Phahrolrazi merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga manakala Dr. Ismail adalah Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Mengulas lanjut, sumber memberitahu, Abdullah mungkin dilantik semula sebagai Exco kerana pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Pembangunan Usahawan selama dua tahun.

Bagaimanapun beliau tidak dilantik semula sebagai Ahli Majlis Kerajaan Negeri Kedah pada majlis pelantikan 10 Mac 2010.

Sumber juga berkata, Yahya pula adalah antara wakil rakyat Pas yang kanan dan berkebolehan untuk mengisi kekosongan exco.

"Bagaimanapun, ia terserah kepada Menteri Besar untuk membuat pilihan," jelasnya.

Katanya, nama lain yang turut berpotensi untuk mengisi jawatan tersebut ialah ADUN Kupang, Johari Abdullah dan ADUN Bukit Pinang, Md. Rohsidi Osman selain Ahmad I'zzat Mohamad Shauki (ADUN Bukit Lada) serta Mohd. Nasir Mustafa (ADUN Kubang Rotan).

Wakil-wakil rakyat Pas lain ialah Md. Zuki Yusof di Kuala Ketil dan Yaakub Hussin di Bandar Baharu.

Sumber itu berkata, lapan penyandang Exco sedia ada dijangka dilantik semula dan akan mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, Selasa ini.

Mereka adalah Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib, Siti Aishah Ghazali, S. Manikumar, Lim Soo Nee, Abd. Ghani Ahmad dan Tan Chow Kang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment