My Add

Friday 17 February 2012

Air lombong tak selamat

Oleh Mohd Zin Ali

Penggunaan bahaya kesihatan, ada logam berat

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Februari, 201: Langkah Kerajaan Selangor untuk menggunakan air mentah dari bekas lombong bagi menampung keperluan air di Lembah Klang boleh menimbulkan masalah kesihatan kerana kandungan bahan logam berat.

Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata kajian yang dilakukannya sebelum ini mendapati air bekas lombong tidak bermasalah jika diambil pada bahagian permukaan tetapi jika disedut hingga ke dasar, bahan logam berat akan turut disedut sekali.

Berikutan itu, air mentah dari bekas lombong tidak sesuai dijadikan bekalan air kerana cukup berisiko kepada masalah kesihatan awam, terutama boleh menyebabkan penyakit kulit.

“Walaupun boleh dirawat, ia membabitkan kos yang besar selain negara masih belum mempunyai kemudahan berkenaan dan belum bersedia menanganinya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, hari ini..

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Kerajaan Selangor itu serta cadangan merawat dan menapis air bawah tanah, hujan dan sungai yang dikatakan lebih menjimatkan berbanding projek membangunkan infrastruktur pemindahan air dari Pahang.

Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 masih tergendala selepas isu penyusunan semula industri air negeri itu melalui perbincangan dengan Kerajaan Pusat masih gagal mencapai penyelesaian. 

Dr Zaini yang juga Naib Canselor serta Profesor Pelestarian Air di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, projek PPAMPS adalah langkah paling sesuai dan lebih menjimatkan untuk menangani masalah air Lembah Klang kerana sebahagian infrastrukturnya sudah pun siap dan hanya menunggu masa untuk disambung.

Bagi mengelak isu air berlarutan, beliau mengulangi cadangannya berhubung penubuhan satu panel bebas yang terdiri daripada pakar dalam dan luar negara yang tidak dipengaruhi mana-mana pihak dengan segala hasil kajian dan cadangan panel perlu dipersetujui semua pihak.

“Ia adalah isu serius dan tidak boleh diambil ringan. Kerajaan Selangor perlu memastikan kebajikan rakyat dan industri di Lembah Klang terjamin.

“Dakwaan menggunakan pelbagai sumber untuk menampung keperluan air di Lembah Klang memang betul tetapi cukupkah ia untuk menampung keperluan semua dan mapan.

“Jika benar ingin menggunakan air bawah tanah, ia perlu dilakukan dari sekarang. Takkan mahu tunggu krisis air baru mahu korek lubang sedangkan krisis bekalan air di Lembah Klang kini berada pada tahap maksimum,” katanya.

Beliau melihat tindakan Kerajaan Selangor itu hanya cuba menjadikan isu air sebagai isu politik serta menafikan pendapat pakar yang membuat unjuran mengenai krisis air di Lembah Klang pada 2014 yang membabitkan kajian bernilai jutaan ringgit, mengambil kira semua aspek dan tidak dipengaruhi sentimen politik. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment