My Add

Wednesday 22 February 2012

Debat bukan penentu menang pilihan raya – Abdullah

KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Februari, 2012: Debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan cara terbaik bagi menyelesaikan pelbagai isu rakyat yang timbul ketika ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, perkara lebih utama yang perlu dilakukan oleh Perdana Menteri ialah memastikan segala perkhidmatan dan sumbangan kerajaan kepada rakyat berjalan lancar kerana itulah penentu kejayaan dalam pilihan raya.

“Saya tidak perlu bagi apa-apa nasihat kepada Datuk Seri Najib kerana beliau lebih memahami apa yang terbaik, tidak perlu didesak.

“Malah debat tidak bererti satu penyudahan kepada segala-galanya yang menjadi penentu dalam pilihan raya, apa yang lebih penting ialah sumbangan kerajaan kepada rakyat. Itu yang perlu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar bertajuk “Pencapaian Umat Islam Pasca Merdeka: Pengajaran dan Langkah ke Hadapan” anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan pembangkang yang mahu Najib berdebat dengan Anwar seperti Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berdebat dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Sabtu lalu.

Turut hadir Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dan Timbalannya, Prof. Datin Dr. Azizan Baharuddin.

Menurut Abdullah yang merupakan Pengerusi IKIM, oleh itu tidak perlu mana-mana pihak mendesak perdebatan tersebut sebagai sesuatu perkara wajib diadakan.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), beliau yakin parti itu akan memperoleh kemenangan yang lebih besar berbanding pada 2008.

“Bergantung pada usaha dan khidmat kerajaan serta apa yang mereka dapat berikan kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah berkata, persepsi dan kefahaman segelintir umat Islam di negara ini bahawa pendidikan agama itu terhad kepada ilmu fikah atau menghafal al-Quran serta hadis sahaja perlu diperbetulkan.

“Mereka harus memahami bahawa ilmu Islam sangat luas serta mempunyai hubungkait dengan ilmu-ilmu lain. Persepsi seperti itu telah menyebabkan pengertian ulama sering difahami dalam makna yang sangat sempit malah ahli sains tidak pula dianggap sebagai ulama.

“Maka kita tidak mahu melihat ilmu yang ada hubungkait dengan Islam itu hanya terhad kepada perkara yang berkait dengan fikah, pengajian al-Quran dan hadis sahaja,” ujarnya.

Seminar dua hari yang dianjurkan IKIM itu menampilkan pembentangan kertas kerja melalui lima sesi bagi menilai prestasi umat Islam di negara ini dalam lima lapangan utama iaitu pendidikan, bahasa dan kebudayaan, sains dan teknologi, sosio-ekonomi serta politik dan pemerintahan.  UTUSAN

No comments:

Post a Comment