KUALA LUMPUR, RABU, 22 Februari, 2012: Pas perlu memastikan kandungan bai'ah atau sumpah taat setia yang diwajibkan kepada calon parti itu untuk bertanding pada pilihan raya nanti tidak menyimpang daripada syariat Islam.
Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, bai'ah boleh menjadi haram dan berdosa sekiranya terma yang terkandung di dalamnya melanggar hukum Islam dan lebih menjurus kepada kepentingan parti atau pemimpin.
Menurutnya, tidak salah bagi mana-mana individu untuk berbai'ah selagi sumpah taat setia dinyatakan itu tidak terkeluar daripada syariat dan peraturan Islam.
"Misalnya, satu ketika dulu, Pas perkenalkan amalan bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga sebagai tanda kesetiaan kepada parti. Perkara seperti ini yang harus diperincikan oleh Pas.
"Jika bai'ah yang baru ini mengandungi unsur-unsur tersasar dari syariat Islam maka ia satu dosa dan haram," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa setiap calon Pas yang bertanding dalam pilihan raya diwajibkan berbai'ah bagi menentukan calon tidak menyeleweng dari dasar Islam, cara dan matlamatnya.
Selain itu kata Dr. Juanda, mereka yang mengingkari bai'ah boleh dianggap ditimpa kecelakaan dalam kehidupannya kerana amalan sumpah yang dibuat berteraskan agama Islam.
"Hakikatnya, amalan bai'ah ini sudah lama dipraktikkan di kalangan pemimpin Islam zaman terdahulu bagi memastikan kepimpinan yang diamalkan mengikut lunas-lunas Islam," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mahu Pas memperincikan kandungan bai'ah yang dimaksudkan parti itu bagi mengelak kekeliruan dan tanggapan serong pihak lain.
Sementara itu, bekas Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Tan Sri Abd. Kadir Talib berkata, mana-mana individu bebas mengamalkan bai'ah selagi pelaksanaannya mengikut syariat dan hukum syarak.
Namun, katanya, jika kandungan bai'ah tersebut bertentangan dengan Islam maka amalan itu wajib dijauhi.
''Bai'ah ini sesuatu yang baik dan dituntut oleh Islam, oleh itu, jika amalannya bertentangan dengan syariat Islam maka ia salah mengikut agama," katanya.
Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, bai'ah lebih menjurus kepada pengakuan sumpah setia kepada pemimpin untuk melakukan perbuatan yang mengikut lunas-lunas Islam.
''Bai'ah ini sebenarnya hanya perkara sunat dan digalakkan melakukannya jika ia menjadikan seseorang itu lebih baik dan tidak melanggar hukum syarak," kata beliau.
Ujar beliau, hasrat Pas mewajibkan calon parti itu melakukan bai'ah sebelum pilihan raya sememangnya baik namun pada masa sama, parti itu harus memastikan pelaksanaannya mengikut hukum syarak Islam.
Sementara itu, pendakwah bebas, Md. Daud Che Ngah berkata, tidak salah mana-mana parti atau individu untuk berbai'ah tetapi ia wajib dilaksana mengikut keperluan Islam.
"Bai'ah ini kata-kata ikrar taat setia berlandaskan prinsip agama tetapi sukar untuk memberi jaminan yakni jika ia gagal dipatuhi maka boleh menyebabkan kecelakaan dunia dan akhirat,'' katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment