My Add

Monday 27 February 2012

Himpunan Hijau gagal capai sasaran

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA

KUANTAN, AHAD, 26 Februari, 2012: Himpunan Hijau 2.0 bagi membantah operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4 di sini hari ini gagal mendapat sambutan apabila hanya disertai kira-kira 3,000 orang, jauh daripada sasaran 20,000 yang ditetapkan.

Lebih malang, himpunan yang diuar-uarkan bakal melimpah ke jalan itu juga gagal menarik kehadiran ramai pemimpin tertinggi pembangkang kecuali daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sememangnya mempunyai program pemukiman di Balok, di sini sejak kelmarin.

Daripada Pas, yang kelihatan cumalah Naib Presiden, Salahuddin Ayob manakala pemimpin utama DAP pula hanya, Lim Kit Siang.

Malah sebahagian yang hadir dibawa dengan bas dari luar bandar Kuantan yang digerakkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro pembangkang, manakala janji Pas untuk mengumpulkan 10,000 ahlinya juga tidak menjadi kenyataan.

Pelanggaran syarat yang jelas turut berlaku apabila penganjur mengatur perarakan peserta ke Padang MPK 4 selepas mereka diminta berkumpul di beberapa lokasi berbeza seperti di Jalan Mahkota dan di hadapan pasar raya besar Giant.

Bagaimanapun himpunan yang berlangsung dari pukul 10 pagi dan berakhir sejam 30 minit kemudian berlangsung tanpa insiden tidak diingini dengan pengisian program terarah kepada ceramah membantah Lynas yang disampaikan beberapa pemimpin selain bacaan puisi.

Ia kemudian diakhiri dengan ceramah Anwar yang hanya tiba selepas hampir sejam peserta bermandi peluh di bawah cuaca terik bandar Kuantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof berkata, polis menganggarkan jumlah peserta Himpunan Hijau 2.0 di Padang MPK 4 hanyalah sekitar 3,000 orang, jauh daripada yang diuar-uarkan penganjur.

Beliau berkata, pihaknya turut kesal dengan sikap penganjur kerana melanggar syarat yang dipersetujui sebelum ini termasuk mengadakan perarakan yang disertai pemimpin pembangkang sehingga menyebabkan gangguan lalu lintas di Jalan Kamunting di sini.

“Selain itu, polis juga tidak berpuas hati dengan penganjur kerana ada dalam kalangan peserta membawa kanak-kanak di bawah usia 15 tahun yang sepatutnya tidak dibenarkan menyertai perhimpunan itu. Kita menasihati penganjur supaya membawa keluar mereka tetapi ia tidak berlaku,” katanya.

Menurutnya, peserta juga turut berada di kaki lima bagi mengajak pengguna jalan raya dengan membunyikan hon kenderaan sebagai tanda sokongan perhimpunan itu.

‘‘Secara keseluruhan, perhimpunan itu berjalan lancar dan tiada provokasi dilakukan peserta sepanjang program tersebut. Polis juga mendapatkan bantuan tambahan anggota beberapa daerah di negeri ini bagi memastikan perhimpunan itu berjalan lancar,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment