My Add

Sunday 19 February 2012

JATI: Gerakan memartabatkan umat

MUKADIMAH
SELASA depan sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diberi nama JATI dan secara jelas membela Islam, Melayu dan Raja (IMR) akan dilancarkan. Untuk mendapat gambaran sebenar tentang penubuhan JATI, wawancara melalui e-mel dilakukan bersama pengasas JATI yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali baru-baru ini. Ujar beliau, JATI diharap akan menjadi mekanisme utama kepada penyatuan umat di negara ini.

MINGGUAN: Dengarnya Datuk akan melancarkan JATI pada 21 Februari ini. Apa sebenarnya matlamat JATI ?

HASAN: Memang benar saya akan melancarkan JATI pada 21 Februari jam 2.30 petang di Shah Alam Convention Centre (SACC). JATI sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggerakkan massa ke arah membentuk masyarakat madani. Tiga tonggak utama gerak kerja JATI disimpulkan sebagai IMR iaitu mengagungkan Islam, memartabatkan Bangsa Melayu dan mendaulatkan Institusi Raja.

Bukankah sudah banyak pertubuhan politik dan bukan politik yang mempunyai matlamat yang sama dengan JATI. Perlukah ada satu lagi pertubuhan seperti JATI?

HASAN: Saya bersetuju dengan pandangan itu. Namun bagi saya langkah untuk membuka ruang untuk memilih dengan lebih luas adalah penting terutama dalam konteks membangun sebuah negara. Rakyat perlu diberi spektrum pemilihan yang beraneka. Saya yakin rakyat Malaysia yang rata-ratanya educated dapat membezakan yang mana intan yang mana kaca. Kami di JATI cuba memberikan yang terbaik demi menjunjung tiga tonggak keramat yang disebut tadi.

Tidakkah ini bermakna masyarakat Melayu/Islam yang kita sama-sama mengetahui begitu berpecah belah akan terus berpecah. Tidakkah nanti JATI dituduh sebagai agen terbaru yang bertanggungjawab memburukkan lagi perpecahan itu?

HASAN: Semua kita harus bersedih dengan perpecahan yang berlaku. Yang jelas faktor perpecahan sering dikaitkan dengan perbezaan fahaman politik. Unit keluarga, kejiranan, komuniti dan masyarakat luas berpecah belah disebabkan perbezaan fahaman politik dan ketaksuban melampau. Ketiga-tiga tonggak perjuangan JATI yang disimpulkan sebagai IMR (Islam, Melayu dan Raja) akan dijadikan pemangkin kepada penyatuan umat. Dengan bantuan pakar-pakar, kita telah mula merangka pelan penyatuan umat berpandukan kepada tiga tonggak tiang seri tersebut. Selain daripada itu barisan kepimpinan JATI disaring dengan teliti supaya mereka benar-benar mempunyai kebolehan dan kemampuan yang diperlukan. Selain daripada kelulusan akademik, pengalaman dan rekod perkhidmatan serta penglibatan dalam gerak kerja sosial, saf kepimpinan JATI dimestikan mempunyai rekod penghayatan Islam dan karakter moral yang bersih. Kualiti ini perlu bagi pimpinan JATI terjun ke masyarakat membawa mesej perpaduan.

Apakah JATI mempunyai formula tersendiri untuk mencari penyelesaian?

HASAN: Seperti yang dibayangkan JATI mempunyai formula dan rangkaian tersendiri untuk mewujudkan perpaduan sejati. Selain daripada menyalakan api perpaduan secara berterusan, JATI juga akan menjalin kerjasama secara networking dengan pertubuhan-pertubuhan yang sedia ada. Syaratnya hanya satu. Pertubuhan-pertubuhan yang terlibat harus bekerja atas nama IMR dengan semangat kerjasama dan persefahaman merentasi ideologi politik, ketaksuban kepada pemimpin atau mempunyai ciri-ciri superiority tersembunyi. Rangkaian kerjasama diikat dengan prinsip bukan untuk bersaing tetapi bergabung atas prinsip complementarity dan supplementarity. Dengan kata lain rangkaian atau jalinan yang diujudkan bukan sahaja dapat dilihat dengan mata dan didengar dengan telinga tetapi lebih dari itu terjalin atas semangat keimanan yang berpanjangan.

Spekulasi mengatakan bahawa JATI akan terlibat secara aktif dalam politik khususnya dalam menghadapi PRU 13. Betulkah cakap-cakap politik ini?

HASAN: Seperti yang diketahui pertubuhan-pertubuhan NGO sebagai sebuah organisasi tidak dibenarkan melibatkan diri secara aktif dalam politik. Namun, JATI tidak menghalang mana-mana ahli untuk terlibat secara langsung dalam gerak kerja politik termasuk bertanding dalam pilihan raya. Mungkin ada di antara ahli JATI merasakan wujudnya keterbatasan untuk menyumbang sekiranya terikat dengan JATI sahaja. Sebaliknya melalui saluran politik ruang lingkup untuk menyumbang lebih terbuka luas hingga kepada pembentukan dasar dan mempunyai akses kepada pelbagai sumber yang menjadi pra-syarat utama kepada kejayaan gerak kerja mana-mana pertubuhan.

Pihak mana yang akan menjadi tumpuan kepada keahlian JATI?

HASAN: Keahlian JATI terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang sudah mencapai umur akil baligh. Umumnya, keahlian JATI mempunyai tiga kategori. Kategori pertama, keahlian bersifat individu terdiri daripada warga Malaysia berbangsa Melayu dan Islam. Kategori kedua, keahlian berbentuk institusi dalam mana pertubuhan-pertubuhan atau NGO boleh menjadi ahli atas nama institusi masing-masing. Ketiga, ahli kehormat terdiri daripada pemimpin-pemimpin masyarakat dan individu-individu ternama yang ingin menyumbang demi untuk merealisasikan cita-cita murni yang terkandung dalam IMR.

Kelihatan JATI hanya memberi tumpuan kepada orang Melayu/Islam sahaja. Apa kedudukan orang bukan Melayu dan bukan Islam dalam JATI?

HASAN: Memang sekali pandang pemerhatian sedemikian mungkin benar. Tetapi, JATI tidak meminggirkan mana-mana anggota masyarakat yang ingin menyumbang dalam usaha membina negara berteraskan kepada IMR. JATI tidak bersifat eksklusif sebaliknya JATI bersifat inklusif. Masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam dialu-alukan menjadi ahli kehormat untuk sama-sama menjalankan tugas berat membawa negara ke kemuncak kejayaan.

Pada sebarang masa dan ketika, pimpinan JATI sentiasa berlapang dada menerima siapa sahaja untuk memberi khidmat bakti masing-masing. Kami sentiasa sedar dan insaf bahawa JATI beroperasi dalam lingkungan masyarakat majmuk. Atas dasar itu falsafah yang terkandung di dalam kebijaksanaan, hikmah atau wisdom sentiasa menjadi amalan.

Bagaimana cara yang paling mudah untuk menjadi ahli JATI ?

HASAN: Kita telah membuka laman portal : www.jalur3.org. Sila layari laman ini atau e-mel terus kepada : salam@jalur3.org. JATI juga telah menyiapkan websitenya : www.jatimalaysia.org yang dijangka beroperasi mulai daripada tarikh pelancaran iaitu 21 Februari nanti.

Pada pandangan Datuk bagaimana masa depan JATI?

HASAN: Secara jujur saya nampak masa depan JATI begitu cerah. Pandangan optimistik saya ini Insya Allah akan menjadi kenyataan. JATI akan menjadi mekanisme utama kepada penyatuan umat di negara ini. Saya menaruh keyakinan yang sangat tinggi kepada teman-teman yang sejak tiga bulan yang lalu bertungkus lumus memerah otak dan tenaga untuk menjayakan JATI tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Saya juga yakin kepada rakyat di negara ini yang selama ini tertunggu-tunggu kelahiran pertubuhan seperti JATI untuk mereka menumpang sama-sama belayar dalam sebuah bahtera menuju ke pulau bahagia berlandaskan kepada IMR.

Saya juga yakin semua pihak sudah berada di gerbang kebijaksanaan setelah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan dan sama-sama berusaha membina negara tercinta ini. Saya juga yakin kepada kebijaksanaan yang dimiliki oleh semua golongan rakyat tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik. Bersama-sama kita dapat melahirkan gambar besar buat negara Malaysia yang kita harap-harapkan. Masa untuk menumpu kepada gambar-gambar kecil yang bertaburan sudah berlalu. JATI bersama dengan pertubuhan-pertubuhan yang lain akan memungut gambar-gambar kecil untuk dijadikan gambar raksaksa. Di dalamnya tercermin Bangsa Malaysia yang maju dalam pengertian holistiknya untuk memacu ke hadapan menongkah segala halangan untuk mendepani dekad-dekad dan abad-abad berikutnya.

Secara peribadi apa yang Dato' harapkan hasil daripada penubuhan JATI ini?

HASAN: Saya mengharapkan JATI diterima oleh semua rakyat Malaysia. Saya juga mengharapkan seluruh ahli JATI menyediakan diri bersedia berada di barisan hadapan untuk melihat umat menjadi maju berlandaskan IMR. Akhirnya saya berharap Allah SWT menerima sedikit sumbangan dari saya dan teman-teman semata-mata untuk mendapatkan redaNya. Moga tercatitlah di dalam buku catitan amal kami bahawa pernah seketika dalam hidup kami diizinkan untuk melangkahkan bagi memartabatkan umat. - Mingguan Malaysia -19 Februari, 2012

No comments:

Post a Comment