KUALA LUMPUR, RABU, 22 Februari, 2012: Keengganan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaman akhbar The Wall Street Journal (WSJ) secara tidak langsung membuktikan Ketua Pembangkang itu menyokong kewujudan Israel.
Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, umat Islam di negara ini dapat menilai pendirian Anwar terhadap konflik di Palestin.
Menurut beliau, perkembangan terbaru itu menimbulkan pelbagai persoalan malah terdapat kemungkinan Anwar terpaksa tunduk kepada pihak tertentu yang mendalangi WSJ.
“Mungkin Anwar disokong oleh pihak terbabit yang mahu menjayakan agenda mereka bagi memastikan negara kita mengiktiraf Israel.
“Kebiasaannya Anwar akan saman mana-mana media tempatan yang didakwa tersalah lapor kenyataannya tetapi kali ini beliau terpaksa akur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Aminuddin mengulas pendirian Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak akan menyaman WSJ berhubung kenyataannya mengenai sokongan terhadap usaha menjaga keselamatan Israel yang disiarkan pada 26 Januari lalu.
Anwar didakwa menegaskan pendirian tersebut selepas mengadakan pertemuan selama kira-kira satu jam bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment