My Add

Wednesday 22 February 2012

Konsep musyarakah mutanaqisah

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM, SELASA, 21 Februari, 2012: Konsep pembiayaan hartanah dan pinjaman peribadi dalam sistem perbankan sekarang dilihat lebih cenderung menghasilkan keuntungan jangka panjang kepada institusi kewangan dan tidak menepati kaedah 'maqasid syariah' yang mementingkan kesejahteraan umat Islam.

Justeru, Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, sudah sampai masanya sistem perbankan beralih kepada konsep 'musyarakah mutanaqisah' sebagaimana diperkenalkan oleh Koperasi Syariah Angkasa (Kopsya).

Katanya, konsep itu mampu mewujudkan situasi menang-menang antara pelanggan dan pembiaya.

"Konsep pinjaman 'musyarakah mutanaqisah' yang dikelola oleh Angkasa melalui Kopsya meliputi sewaan, perkongsian dan penjualan yang akan mengurangkan tempoh pinjaman dan memberi keuntungan kepada pelanggan yang pada masa sama turut menjadi pelabur.

"Melalui kaedah ini, secara nisbah ahli mendapat pembiayaan 90 peratus dan membuat pelaburan 10 peratus kepada koperasi dengan sasaran tempoh pembayaran semula lebih pendek berbanding pembiayaan konvensional," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas membentangkan kertas kerja pada Seminar Inovasi Dalam Perbankan Islam-Musyarakah Mutanaqisah di Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) di sini hari ini.

Hadir sama Rektor Mediu, Prof. Dr. Mohammad Khalifa Al-Tamimi dan Presiden Persatuan Usahawan Muda Muslim Malaysia (PUMMM), P. Aizan Tukirin.

Menurut Mohd. Ali, bagi menggalakkan pembiayaan berkonsep 'musyarakah mutanaqisah', semua koperasi di negara ini diseru menjadi ahli Kopsya yang ditubuhkan tiga bulan lalu.

"Kepada hampir 10,000 koperasi di negara ini, saya sarankan sertai Kopsya untuk kita sama-sama mendaulatkan syariah dan tinggalkan elemen konvensional dalam pembiayaan.

"Sudah sampai masanya kita berhenti menggunakan pembiayaan yang tidak baik kepada umat Islam dan mengelakkan elemen 'inah' (jual beli tertangguh) dalam pembiayaan peribadi dan perumahan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment