My Add

Wednesday 22 February 2012

Lebihkan program perpaduan

MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan sebahagian pelajar selepas merasmikan Minggu Keharmonian Penganut Antara Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya, semalam.

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

PETALING JAYA, SELASA, 21 Februari, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan pengurusan sekolah di seluruh negara menganjurkan lebih banyak program bagi memupuk sikap penerimaan serta perpaduan di kalangan pelajar pelbagai agama dan keturunan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pengurusan sekolah juga perlu memastikan supaya aktiviti berkenaan turut disertai oleh ibu bapa para pelajar di sekolah masing-masing.

Beliau memberitahu, usaha itu bagi menjamin sikap toleransi serta penerimaan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini dapat dipupuk sejak di peringkat sekolah lagi.

"Jangan kita sentuh sensitiviti di antara sesama kita walaupun kita datang daripada agama dan anutan agama berbeza.

"Kita hormati kelainan kita, kita terima kelainan sebagai satu warisan yang kita hargai kerana mungkin tidak banyak negara seperti Malaysia," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian semasa berucap merasmikan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2012 Peringkat Sekolah, di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman di sini.

Muhyiddin bagaimanapun yakin sistem persekolahan yang diamalkan kerajaan selama ini telah berjaya memupuk semangat hormat-menghormati di kalangan masyarakat seterusnya memastikan keamanan negara.

Dengan keamanan, katanya, kepimpinan negara dapat memberi tumpuan kepada usaha memacu Malaysia mencapai lebih banyak kemajuan serta menuju status sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi kelak.

"Ada negara yang mempunyai hanya satu agama tapi terdiri daripada pelbagai puak dan bergaduh serta berperang sesama sendiri.

"Ada jua negara yang mempunyai pelbagai agama tetapi hubungan mereka sentiasa tegang (sehingga) kadang-kadang berlaku pertempuran seterusnya pertumpahan darah," jelasnya.

Dalam pada itu, Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Oktober 2010 mengisytihar minggu pertama setiap bulan Februari sebagai Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment