My Add

Monday 27 February 2012

Mahathir sudah lama berniat mahu dedah surat kepada Israel

KOTA SAMARAHAN, AHAD, 26 Februari, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau sudah lama berniat mahu mendedahkan isi kandungan perutusan surat kepada bekas Perdana Menteri Israel Ehud Barak ketika memegang tampuk pemerintahan negara. 

Tun Mahathir berkata, hasrat berkenaan ingin dilakukan beliau ketika menulis
buku memoir "A Doctor In The House" namun atas sebab tertentu kerajaan melarang beliau daripada berbuat demikian.

"Saya memang mahu dedahkan isi kandungan surat kepada Israel itu dalam buku 
terbaru saya, tapi atas sebab tertentu kerajaan menghalang hasrat itu," katanya selepas menyampaikan ceramah "Patriotisme dan Politik" di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, hari ini. 

Tun Mahathir berkata, beliau bagaimanapun berterima kasih kepada kerajaan 
kerana bersetuju untuk mendedahkan kandungan surat itu minggu hadapan dan 
berharap ia dapat memperbetulkan sangkaan buruk yang dilontar pihak tertentu 
terhadapnya ketika ini. 

Beliau berkata, pelbagai tuduhan buruk dilemparkan kepadanya sejak akhir-akhir ini berhubung dakwaan pembangkang yang cuba mengaitkannya dengan Israel. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, kerajaan akan 
mendedahkan isi kandungan perutusan surat antara Dr Mahathir dan Barak awal 
minggu depan. 

Najib berkata, surat itu menunjukkan keprihatinan Dr Mahathir dalam proses 
kedamaian di Timur Tengah dan isi kandungannya juga menepati dasar kerajaan 
Malaysia dari dahulu hingga sekarang. 

Perdana Menteri berkata, isu surat itu dimanipulasikan oleh pihak pembangkang yang sengaja mahu membangkitkan rasa sangsi rakyat terhadap pendirian kerajaan sekali gus mahu mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan terhadap Israel. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment