My Add

Friday 3 February 2012

Malaysia catat pelaburan RM120b, dakwaan Malott ditolak

TAIPING, KHAMIS, 02 Februari, 2012: Malaysia berjaya mencatatkan pelaburan RM120 bilion bagi tempoh Januari hingga November tahun lepas, sekali gus menolak dakwaan bahawa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal melaksanakan janji dalam melakukan perubahan ekonomi kepada negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, jumlah yang direkodkan itu melepasi sasaran pelaburan RM115 bilion yang ditetapkan oleh kerajaan untuk tahun lepas.

"Sasaran kita untuk tahun lepas sahaja sudah kita lepasi. Berdasarkan Januari hingga November sahaja, belum masuk Disember... jumlah pelaburan keseluruhan RM120 bilion, walhal sasaran RM115 bilion.”

"Itu hanya angka sehingga bulan 11 (November). Jadi, amat jelas sekali pandangannya (bekas Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, John Malott) tidak boleh dipakai pada pandangan saya kerana kenyataannya jauh berbeza dengan apa yang disebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Reka Bentuk Kejuruteraan Digital di sini, hari ini.

Mukhriz diminta mengulas kritikan bekas duta itu terhadap pentadbiran Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN) dalam artikel bertajuk “Testing Malaysia”s Promises” yang disiarkan Wall Street Journal pada 12 Jan. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment