My Add

Tuesday 21 February 2012

PDRM naik taraf balai polis di sempadan Kelantan-Thailand

KOTA BHARU, ISNIN, 20 Februari, 2012: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menaik taraf semua balai polis yang terletak di kawasan sempadan Kelantan-Thailand, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat dan mencegah jenayah serta penyeludupan di kawasan terbabit. 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata pihaknya juga akan menambah aggota di balai polis berkenaan, terutama anggota wanita yang bertugas di bahagian kaunter.

Katanya, usaha itu diambil ke arah penambahbaikan perkhidmatan di balai polis terbabit, memandangkan peningkatan kegiatan jenayah dan penyeludupan melalui sempadan.

"Langkah menaik taraf balai polis di kawasan sempadan ini selaras dengan usaha PDRM ke arah penambahbaikan mutu perkhidmatan kepada mayarakat di kawasan terbabit," katanya selepas merasmikan "Program Komuniti Kepolisan" PDRM Bersama Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) dari seluruh negeri ini di sini, hari ini. 

Beliau turut mengadakan dialog dengan kira-kira 350 peserta yang menyertai program itu. 

Jalaluddin berkata, walaupun kerajaan membekukan penambahan anggota pasukan itu di seluruh negara, pihaknya akan tetap memberi keutamaan menempatkan lebih ramai anggota polis di balai polis di kawasan sempadan yang memerlukan perhatian segera. 

"Ini adalah di antara langkah jangka pendek yang akan diambil oleh pihak kami sebelum tindakan jangka panjang seterusnya dilakukan dengan persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya. 
Menurutnya, cadangan ke arah penambahbaikan jangka panjang itu akan dibentangkan pada persidangan polis di Kuala Lumpur bulan depan. 

Katanya, setakat ini, Kelantan mempunyai 3,000 anggota polis yang bertugas di semua balai polis di seluruh negeri dan jumlah itu agak kecil berbanding negeri lain yang dianggap sebagai kawasan panas seperti Johor dan Selangor yang mempunyai 10,000 hingga 11,000 anggota. 

Jalaluddin berkata, cadangan untuk menempatkan lebih ramai anggota wanita di bahagian kaunter bagi membolehkan mereka menerima aduan dan memberi layanan yang lebih baik kepada masyarakat. 

Mengulas polis akan mengambil alih tugas mengawal sempadan di bawah Ops Wawasan daripada tentera mulai Mei depan, beliau berkata, rancangan itu akan dilaksanakan mengikut jadual. 

Jalaluddin berharap, dengan pengambilan alih tugas itu akan dapat meningkatkan lagi mutu kawalan keselamtan daripada ancaman penyeludupan dadah dan jenayah di kawasan berkenaan. 

Beliau berkata, walaupun kadar jenayah di negeri ini terkawal, namun kegiatan jenayah yang melibatkan berkumpulan agak membimbangkan, terutama apabila berlakunya kes terbaru bakar kereta dan tembak di Kok Lanas, minggu lalu. 

Katanya, polis percaya kegiatan itu dilakukan oleh dua kumpulan akibat dendam yang berpunca daripada kes pengedaran dadah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment