My Add

Sunday 19 February 2012

Pelajar desak Rektor KUIN ditukar

ALOR SETAR, AHAD, 19 Februari, 2012: Pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) hari ini mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, menukar rektor kolej yang didakwa gagal mentadbir dan menuntut KUIN diiystiharkan bebas daripada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Desakan itu dibuat kira-kira 100 pelajar yang berhimpun secara aman selama setengah jam di hadapan Wisma Darul Aman.

Mereka mendakwa Rektor KUIN, Prof Datuk Jamil Osman, tidak membawa perubahan selepas hampir sepenggal mentadbirnya.

Pengerusi perhimpunan itu, Rendy Ismail, berkata mereka juga menuntut kebajikan pelajar KUIN diberi perhatian oleh pentadbir selepas Rektor KUIN gagal menyelesaikannya.

"Pelajar turut mempersoal status asrama pelajar di Mergong dan Stargate yang tidak mempunyai sijil layak menduduki (CF) dan peralatan keselamatan tidak lengkap termasuk tiada alat memadam api tetapi pihak pentadbir KUIN masih boleh membenarkan pelajar tinggal di asrama yang tidak ada CF," katanya.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Razak, berkata mereka juga meminta Azizan mengisytiharkan Kedah sebagai negeri bebas AUKU.

"Kita minta Azizan lebih agresif menangani isu ini. Kalau Menteri Besar Selangor boleh isytiharkan Selangor bebas AUKU dan Ketua Menteri Pulau Pinang juga memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk bersuara, kenapa Azizan tidak boleh lakukan perkara sama kerana Kedah juga ditadbir pakatan pembangkang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment