My Add

Wednesday 22 February 2012

Penyampai radio akur teguran Rais

KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Februari, 2012: Teguran Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim terhadap stesen-stesen radio berhubung penggunaan bahasa Melayu yang tepat disambut baik oleh penyampai radio tempatan.

Bagi penyampai radio Suria FM, Halim Othman, 48, beliau melihat isu tersebut sebagai sesuatu yang sangat positif dan mampu memberikan kebaikan kepada dirinya sendiri.

"Saya menganggap apa yang diperkatakan oleh menteri itu sebagai satu cabaran untuk seorang penyampai radio seperti saya.

"Ini kerana bahasa ibunda kita mempunyai keindahannya yang tersendiri dan mampu untuk setanding serta setaraf dengan bahasa lain apabila dipersembahkan dalam medium hiburan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan bahawa kesemua 56 stesen radio di negara ini termasuk swasta dikehendaki menggunakan bahasa Melayu dengan tepat sebagai syarat lesen radio mulai tahun depan.

Pelaksanaan itu, kata Rais, dilakukan kerana pada ketika ini, kebanyakan stesen radio dilihat tidak mengendahkan bahasa kebangsaan sedangkan peranan mereka cukup besar dalam mempromosikan penggunaannya.

Malah Rais turut menjelaskan penggunaan bahasa Melayu oleh stesen radio tempatan tidak mencapai tahap memuaskan sehinggakan dipertikaikan oleh orang ramai.

Halim yang mengendalikan segmen pagi, Ceria Pagi Di Suria setiap hari Isnin hingga Khamis dari 5 hingga 10 pagi itu bagaimanapun memberitahu, perlaksanaan itu harus dilakukan secara perlahan-lahan untuk menampakkan hasil yang berkesan.

"Memang pada awalnya, ia akan kelihatan sungguh janggal kerana kita perlu memikirkan perkataan yang sesuai untuk menyampaikan maksud dalam setiap celoteh kita.

"Di sini terletaknya kreativiti seseorang penyampai itu dalam cara penyampaiannya. Tidak semestinya apabila menggunakan bahasa Melayu, kita perlu menjadi begitu formal.

"Kalau kena dengan lenggok bahasa dan penyampaian, tidak mustahil ia akan menjadi begitu enak di dengar," katanya.

Sementara itu, penyampai radio wanita popular, Linda Onn pula bersetuju dengan kenyataan Rais sambil menyifatkan ia adalah usaha yang bagus dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

"Malah saya percaya dengan usaha itu juga, ia secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat.

"Tetapi penyampai juga perlu bijak berbicara dan berinteraksi supaya ia tidak kedengaran pelik serta kaku sewaktu di udara. Tidak salah untuk melakukannya dengan cara yang santai tetapi biarlah tepat," jelasnya.

Pengurus Besar Rangkaian Program Hot FM, Anida Tahrim dalam satu kenyataan berkata, stesen radio itu cukup sedar akan pentingnya media dalam memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

Katanya, Hot FM terbuka dalam menerima teguran yang konstruktif daripada pelbagai pihak termasuklah para pendengar bagi memperbaiki mutu siaran stesen tersebut.

"Kami sedia maklum akan garis panduan yang ditetapkan dan sentiasa berusaha untuk mematuhinya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment