My Add

Saturday 25 February 2012

Rumah untuk semua - Najib

NAJIB Tun Razak berucap di hadapan ribuan rakyat pada program Walkabout di Jalan Bendahara dan Kee Ann Melaka semalam. - UTUSAN/GAIE UCHEL

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membela nasib golongan berpendapatan rendah dengan memastikan mereka mampu memiliki rumah menerusi dasar dan inisiatif yang dilaksanakan untuk tempoh lima tahun lagi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri menegaskan, tiada kumpulan yang akan dipinggirkan dan kerajaan akan memastikan rakyat sentiasa mendapat manfaat melalui dasar yang memberi peluang kepada mereka memiliki atau menyewa rumah yang dibina oleh sektor awam dan swasta.

''Kerajaan berasa denyut nadi rakyat yang mahu memiliki rumah sendiri. Ini cita-cita yang semua orang mahu, tak kira siapa, mereka mahu suatu hari nanti dapat memiliki sebuah kediaman yang selesa.

''Inilah salah satu keutamaan di bawah kerajaan BN dan kita akan terus membina sebanyak rumah untuk rakyat miliki.

''Sebab itulah Dasar Perumahan Negara yang dilancarkan tahun lalu bertujuan memperkasakan lagi projek-projek perumahan awam dan swasta terutama sekali rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat," katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada 336 pembeli Pangsapuri Rakyat Sungai Putat, Batu Berendam di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Yunos Husin.

Pada majlis itu juga, beliau mengumumkan harga pangsapuri tersebut yang dijual RM35,000 seunit berbanding harga kos sebenarnya bernilai RM148,000 seunit.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, sepanjang tempoh 2006 hingga 2010, sejumlah 110,000 unit perumahan awam mampu milik telah dapat dibina oleh kerajaan.

''Kita tambah lagi dengan Skim Rumah Pertamaku dengan setiap individu berusia 35 tahun ke bawah boleh mendapat pinjaman 100 peratus daripada institusi kewangan tanpa perlu wang pendahuluan," katanya.

Justeru, kata Najib, kerajaan dalam proses mempergiatkan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dibangunkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk diberikan kepada golongan sederhana dan berpendapatan rendah agar mereka memiliki rumah kediaman sendiri.

Menurutnya, kerajaan juga menyediakan subsidi sebagai sumbangan kepada rakyat supaya rumah yang ditawarkan oleh kerajaan adalah rendah berbanding harga pasaran sebenarnya.

Beliau berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu, kerajaan telah menyiapkan sebanyak 65,246 buah rumah di seluruh negara dan sebagai tambahan, sebanyak 38,942 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Mengenai projek terbengkalai pula, katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM63 juta bagi memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai di seluruh negara.

Katanya, sehingga 31 Disember tahun lalu, kerajaan dengan kerjasama semua pihak telah berjaya memulihkan sebanyak 83 projek daripada jumlah 167 projek perumahan yang diisytiharkan terbengkalai sejak 2009. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment