PUTRAJAYA, RABU, 01 Februari, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini menyeru rakyat supaya sentiasa menyokong usaha kerajaan memperkukuhkan ekonomi negara berikutan senario ekonomi dunia masa ini yang diramalkan tidak menentu.
Seri Paduka bertitah rakyat tidak boleh alpa dan perlu sentiasa komited untuk terus bekerja dan berusaha dengan gigih.
Baginda bertitah keadaan ini berikutan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun serta tekanan inflasi akibat kenaikan harga komoditi, krisis hutang negara Eropah dan juga perdagangan dunia yang lebih perlahan.
"Beta melihat suasana global ini tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia.
"Justeru seluruh rakyat Malaysia termasuk warga Wilayah Persekutuan perlulah sentiasa komited untuk terus bekerja dengan penuh iltizam dan sentiasa menyokong usaha kerajaan mengukuhkan ekonomi negara," titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Istana Melawati di sini, hari ini.
No comments:
Post a Comment