My Add

Wednesday 8 February 2012

Tiga penjenayah mati ditembgaak

ANGGOTA Forensik mengangkat mayat perompak yang mati ditembak dalam satu kejadian berbalas tembakan di Jalan Parit Mahang, Ijok, Selangor, semalam.

Oleh AZIAN AZIZ
KUALA SELANGOR, RABU, 08 Februari, 2012: Polis menembak mati tiga daripada empat penjenayah bersenjatakan pistol dan parang dalam kejadian berbalas tembak di dalam ladang kelapa sawit di Jalan Parit Mahang, Ijok di sini awal pagi semalam.

Seorang lagi penjenayah berjaya melarikan diri ke dalam hutan dan kini sedang diburu. Identiti kesemua suspek masih belum dikenal pasti memandangkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Difahamkan, sebelum kejadian berbalas tembak, kesemua suspek baru menyamun rumah seorang pemandu lori di Jalan Berkat, Kampung Parit Mahang, kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian pada pukul 3 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, sebaik sahaja menerima laporan kejadian itu, polis yang kebetulan menjalankan rondaan berdekatan tempat kejadian terserempak dengan kenderaan suspek terbabit.

Beliau berkata, suspek yang cuba lari telah dikejar sejauh tiga kilometer sebelum tiga daripada mereka mati selepas berbalas tembak dengan polis di tempat kejadian.

“Semasa polis sedang mengejar suspek di dalam kawasan ladang kelapa sawit, kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam lopak di Jalan Parit Mahang. Keempat-empat suspek keluar daripada kereta dan dua daripada mereka terus melepaskan tembakan ke arah pihak polis.

“Dalam usaha mempertahankan diri, pihak polis melepaskan tembakan balas dan tiga daripada penjenayah terbabit mati di tempat kejadian namun seorang lagi suspek berjaya melarikan diri ke dalam hutan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Mohd. Adnan berkata, hasil pemeriksaan terhadap mayat tiga suspek tersebut dan kereta Proton Wira yang dinaiki mereka, polis menemui dua pucuk pistol jenis revolver dan Smith and Wesson, satu parang, sabit, beg komputer riba serta sejumlah wang.

Menurut beliau, semakan terhadap kereta yang dinaiki suspek mendapati, kenderaan itu dilaporkan dicuri di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 17 Januari lalu.

“Kita kini sedang menyiasat sama ada kesemua suspek terlibat dengan 13 kes samun bersenjata di sekitar Selangor.

“Kita juga telah mengerahkan Unit Anjing Pengesan untuk mengesan suspek yang masih bebas,” katanya sambil memberitahu kejadian disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 307 Kanun Keseksaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment