My Add

Wednesday 1 February 2012

Kerja secara elektronik 2020

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

SEREMBAN, RABU, 01 Februari, 2012: Kerajaan negeri telah membangunkan Pelan Strategik ICT Negeri Sembilan (NSISP) sebagai panduan untuk menjadikan negeri ini berkeupayaan berhubung secara elektronik sepenuhnya pada 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelan itu merangkumi perancangan 10 tahun bermula tahun lalu hingga 2010.

"Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) adalah pemboleh ubah strategik yang berupaya meningkatkan keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat," katanya ketika menutup Hari Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEA), Kandungan, Komunikasi dan Kemudahan (CCI) dan Projek Penggerak Ekonomi (EPP) E-Government di sini, semalam

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Hadir sama, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Mohamad Zabidi Zainal.

Kata Mohamad, pembangunan NSISP merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan semua aktiviti pembangunan ICT di seluruh negeri termasuk pentadbiran kerajaan negeri dapat diselaraskan.

"Perancangan, pelaksanaan dan pemantauan ICT yang cekap dan berkesan berupaya meningkatkan produktiviti dan memberi nilai tambah terhadap perkhidmatan yang disediakan bagi meneruskan momentum kecemerlangan pembangunan negeri ini," tegasnya.

Program itu antara lain bertujuan memberi penerangan, membentangkan program dan projek mengenai Program Transformasi Ekonomi (ETP), NKEA, CCI dan EPP.

Selain itu ia bertujuan menyampaikan maklumat perkhidmatan online kerajaan kepada semua pegawai perkhidmatan awam negeri ini.

"Bagi menjayakan transformasi, rakyat sebagai aset modal insan harus membabitkan diri secara aktif dan didorong untuk memikul sama usaha itu, selain berfikiran kreatif dan menjadikan ia budaya bagi membentuk dinamisme perubahan yang diharapkan," ujarnya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment