My Add

Wednesday, 1 February 2012

'Mualaf jadi duta perbetul salah faham peluk Islam'

SEREMBAN, RABU, 01 Februari, 2012: Golongan mualaf wajar menjelaskan kebenaran kepada orang ramai bahawa memeluk Islam bukanlah bermaksud meninggalkan keluarga, apatah lagi ibu bapa masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persepsi itu telah menyebabkan masyarakat salah faham, sehingga boleh mendatangkan kesulitan kepada orang lain dan tidak menepati kehendak agama Islam.

"Ahli dan jawatankuasa Persatuan Cina Muslim negeri ini hendaklah menjadi duta untuk menjelaskan kemelut itu," katanya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Saudara Muslim Bersama Menteri Besar di Kompleks Al Saadah di Rahang dekat sini, malam semalam.

Katanya, selaras dengan kehendak Islam supaya ikatan persaudaraan sesama keluarga dan agama diberi keutamaan, maka wajar semua pihak memainkan peranan ke arah itu.

Mohamad juga mengingatkan semua pihak supaya menjauhi syak wasangka selain menghindari perbuatan menyakiti perasaan orang lain termasuklah mereka yang bukan seagama.

"Jadilah sebagai warga yang baik dan sentiasa bertakwa serta melihat bahawa kita sentiasa tinggal di dalam keadaan negara yang aman dan damai," jelasnya.

Tegas beliau, walaupun telah memeluk agama Islam, tanggungjawab anak terhadap ibu bapa tidak boleh sama sekali diabaikan.

Pada majlis itu Mohamad juga mengingatkan persatuan berteraskan agama agar diuruskan dengan baik serta tidak bergaduh sesama sendiri terutama dalam soal merebut jawatan penting. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment