My Add

Wednesday, 1 February 2012

Sokongan kaum Cina kepada BN makin meningkat di Perak

IPOH, RABU, 01 Februari, 2012: Tahap sokongan masyarakat Cina di negeri ini kepada Barisan Nasional (BN) dilihat semakin meningkat walaupun terdapat usaha oleh pihak tertentu untuk menghakis sokongan mereka.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, penerimaan masyarakat Cina terhadap BN dapat dilihat pada sambutan yang diberikan kaum itu pada Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di Sitiawan, Sabtu lalu.

"Saya dapat lihat, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat merasai tahap sokongan melalui bahasa badan yang ditunjukkan masyarakat Cina di Perak (pada majlis tersebut).

"Walaupun ada usaha pihak tertentu menghakis sokongan masyarakat itu kepada BN, tetapi apa yang berlaku sokongan orang Cina kepada BN semakin positif," katanya selepas Hari Bertemu Pelanggan di sini, semalam.

Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di padang Lapangan Terbang Sitiawan pada Sabtu lalu yang dihadiri Perdana Menteri, dibanjiri kira-kira 60,000 orang.

Malah, ratusan penduduk di Taman Sepakat, Sitiawan berebut-rebut untuk bersalaman dengan Najib semasa beliau melawat dua keluarga Cina di situ sebelum menghadiri majlis berkenaan.

Menurut Zambry, tanggapan kononnya kaum Cina tidak menyokong BN tidak benar sama sekali kerana mereka memberi sambutan kepada program yang dijalankan oleh kerajaan negeri.

"Kalau ada orang kata masyarakat Cina tidak suka BN, kita tidak akan jumpa kaum Cina datang pada hari ini (Hari Bertemu Pelanggan). Orang Melayu dan India pun datang.

"Sokongan ketiga-tiga kaum ini amat penting untuk memastikan BN menang di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," ujarnya.

Mengulas pendedahan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengenai setiap parti dalam pakatan pembangkang mendakwa menjadi 'abang besar', Zambry berkata, ia adalah realiti yang berlaku di kalangan mereka.

Beliau berkata, ketiga-tiga parti politik pembangkang itu hanya mempunyai persefahaman politik bagi menghadapi pilihan raya dan mereka akan bertelagah sesama sendiri selepas itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment