My Add

Thursday 2 February 2012

20,000 'ibu kampung' sertai bengkel kemahiran

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 02 Februari, 2012: Kira-kira 20,000 isteri pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini akan menyertai fasa kedua Bengkel Ibu Kampung - Kemahiran Pendampingan Masyarakat Kepada Isteri JKKK di setiap kawasan Parlimen.

Program itu akan berlangsung sejurus selesai fasa pertama di setiap kawasan Parlimen di negeri ini yang dijangka berakhir bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad berkata, buat permulaan, program fasa pertama dilangsungkan hari ini dengan Parlimen Marang sebagai perintis sebelum disusuli Parlimen lain.

Menurutnya, program seumpama itu penting bagi meningkatkan kesedaran kepada isteri pengerusi dan setiausaha JKKK atau 'ibu kampung' dalam membantu tugas serta tanggungjawab suami masing-masing.

"Program yang dianjurkan oleh YPK (Yayasan Pembangunan Keluarga) ini diharap dapat membantu 'ibu kampung' atau isteri kepada pengerusi dan setiausaha JKKK agar menjaga imej suami dalam mendepani masalah masyarakat setempat.

"Ibu kampung dianggap sebagai nadi dan mereka akan diberi pendedahan mengenai kemahiran serta teknik mendampingi masyarakat setempat dengan lebih berkesan kerana keberkesanan tugas suami bergantung kepada isteri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bengkel itu untuk Parlimen Marang. semalam.

Turut hadir, isteri beliau, Toh Puan Rosnani Ngah dan Pengarah YPK, Mohd. Safaruddin Mustaffa.

Yahya yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, 'ibu kampung' juga berperanan sebagai penilai kepada keberkesanan khidmat serta tugas yang diamanahkan kepada suami masing-masing.

"Justeru itu, para isteri berkenaan perlu berganding bahu dengan suami masing-masing dalam membantu kerajaan menangani masalah yang dihadapi oleh ahli masyarakat di kawasan mereka.

"Kerjasama serta gandingan ini penting bagi memastikan kerajaan Barisan Nasional mampu memenangi pilihan raya umum akan datang dan sekali gus kekal memerintah negeri ini," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment