My Add

Thursday 2 February 2012

Sabah sokong tribunal NCR

MUSA Aman (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Sabah di Bangunan Innoprise, Kota Kinabalu, kelmarin. Turut kelihatan, Sukarti Wakiman (dua dari kiri) dan Setiausaha Persekutuan Negeri, Datuk Khazali Ahmad (dua dari kanan).

Oleh SITTI NOR AZIZAH TALAT

KOTA KINABALU, KHAMIS, 02 Febeuari, 2012: Kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan untuk menubuhkan tribunal atau suruhanjaya bagi menyelesaikan masalah melibatkan hak tanah adat pribumi (NCR) di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, cadangan-cadangan bernas bagi memperkasakan sistem perundangan di negeri itu sentiasa dialu-alukan demi kebajikan rakyat.

"Kita menyambut cadangan untuk menubuhkan tribunal bagi menyelesaikan isu-isu tanah adat di negeri ini memandangkan ia belum lagi diwujudkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Taklimat Pejabat Pembangunan Persekutuan (SDO) Negeri di Wisma Innoprise di sini, kelmarin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman.

Musa diminta mengulas cadangan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjun untuk mewujudkan tribunal Hak Tanah Adat Pribumi di Sabah.

Jelas beliau, kerajaan negeri sedia bekerjasama dalam melaksanakan program perintis pemilikan tanah secara bersama bagi penduduk yang tidak memiliki tanah.

Katanya, pemilikan tanah penduduk tidak hanya setakat itu sahaja, malah kerajaan akan membantu membangunkan infrastruktur dan peluang perniagaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

"Apa yang penting, idea berkenaan mampu memberi penyelesaian terbaik terhadap isu-isu berkaitan tanah adat di negeri ini," katanya yang menyokong sepenuhnya cadangan alternatif itu.

Dalam pada itu, Musa berkata, berdasarkan Sistem Pemantauan Projek II (SPPII) sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak RM4.3 bilion atau 72.9 peratus daripada peruntukan 2011 telah dibelanjakan bagi membiayai projek-projek pembangunan yang dilaksanakan di Sabah.

Beliau menjelaskan, prestasi tersebut adalah 20.9 peratus di bawah Purata Nasional (93.8 peratus), sekali gus membuktikan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mula dilaksanakan sejak 2010 telah menunjukkan hasil positif.

Tambah Musa, dengan komitmen tinggi dan kerjasama erat antara SDO Sabah dan semua agensi kerajaan tempatan, Sabah telah membelanjakan 99.0 peratus daripada RM105 juta yang diperuntukkan untuk kedua-dua Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment