My Add

Thursday 23 February 2012

67 pelajar dikuarantin selepas alami simptom ILI di Melaka

MELAKA, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Seramai 67 pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah di Ayer Keroh dikuarantin di asrama sekolah itu selepas didapati mempunyai simptom penyakit serupa Influenza (ILI). 

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan Melaka, Datuk Gan Tian Loo, berkata daripada jumlah itu, 35 adalah pelajar perempuan dan 32 pelajar lelaki dari tingkatan satu hingga lima.

Beliau berkata, simptom itu dikesan sejak Isnin lalu selepas 77 pelajar mengadu mengalami selesema, batuk, sakit sendi, sakit tekak dan demam.

"Saya dimaklumkan oleh pihak sekolah dan juga Jabatan Kesihatan Negeri bahawa jangkitan atau virus ini terkawal dengan angka pelajar yang dikuarantinkan juga semakin berkurangan apabila 10 pelajar disahkan bebas daripada virus itu," katanya selepas melakukan lawatan ke sekolah berkenaan, hari ini. 

Katanya, kesemua pelajar yang dikuarantin itu mendapat pemantauan rapi daripada doktor dan jururawat daripada Pejabat Kesihatan Ayer Keroh. 

Gan berkata, ibu bapa diminta tidak terlalu bimbang dan berhubung dengan pihak sekolah sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan. 

Beliau berkata, sesi pembelajaran berjalan seperti biasa dan pelajar sekolah berasrama penuh itu disaran memakai penutup mulut sebagai langkah keselamatan.

Katanya, punca penyakit masih disiasat dan pihaknya sedang menunggu laporan daripada Hospital Melaka. 

Selain itu katanya, kerajaan negeri turut menubuhkan satu unit khas bagi memantau perkembangan penyakit itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment