My Add

Thursday 2 February 2012

8 pendatang asing mati lemas, 5 hilang

CHE Mahazan Che Aik memeriksa lapan mayat warga asing yang mati lemas di Pantai Teluk Semayong, Sedili, Kota Tinggi, Johor, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KOTA TINGGI, KHAMIS, 02 Februari, 012: Lapan lelaki warga asing mati lemas, lima hilang, manakala 12 lagi selamat apabila bot pancung yang mereka naiki karam pada kedudukan tujuh batu nautika (13 kilometer) dari perairan Teluk Semayong, Sedili Besar di sini awal pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika kesemua 25 pendatang asing dari Afghanistan dan Iraq berusia antara 20 hingga 35 tahun cuba menyeludup keluar dari negara ini untuk menuju ke sebuah negara lain dipercayai Australia.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Che Mahazan Che Aik berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8 pagi daripada penduduk tempatan yang menemui lapan mayat dan mangsa terdampar di pantai Teluk Semayong.

Beliau berkata, kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada lebihan muatan selain keadaan laut bergelora.

“Siasatan awal mendapati, kesemua 25 warga asing itu dipercayai ingin keluar dari negara ini sebelum bot mereka dipukul ombak menyebabkan ia karam.

“Menurut beberapa mangsa yang terselamat, tekong bot sempat melarikan diri. Kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang hilang,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Tanjung Sedili di sini, semalam.

Ini merupakan kejadian terbaru melibatkan bot karam membawa pendatang asing di rantau ini. Baru-baru ini, sebuah bot yang menyeludup warga asing dari Asia Barat dan beberapa negara lain menuju ke Australia karam di perairan Jawa Timur, Indonesia mengakibatkan 217 orang dikhuatiri lemas.

Tragedi melibatkan warga Afghanistan, Turki, Iran dan Arab Saudi itu berlaku kira-kira 30 batu nautika (55 kilometer) dari perairan Perigi, Trenggalek, Jawa Timur.

Che Mahazan berkata, kesemua mangsa yang selamat mendakwa semua dokumen pengenalan diri hilang dihanyutkan ombak dan ini menyukarkan polis untuk memastikan identiti sebenar mereka.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai lokasi sebenar digunakan mereka untuk menyusup keluar dari negara ini dan mereka dipercayai tidak menggunakan laluan di sepanjang pantai Kota Tinggi.

“Kita juga mengalami masalah untuk menjalankan siasatan kerana kesemua mangsa yang terselamat tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Sementara itu, seorang mangsa yang dikenali sebagai Atallah Rafki, 23, berkata, dia bersama rakan lain mula berasa cemas apabila bot karam dan melihat ada yang lemas sekali gus berusaha untuk menyelamatkan diri dengan berenang ke tepian.

“Saya hanya fikir untuk menyelamatkan diri dan kami juga tidak dibekalkan dengan jaket keselamatan,” katanya.

Seorang lagi yang dikenali sebagai Nametullah, 25, berkata, kejadian itu merupakan pengalaman terburuk dalam hidupnya malah masih terkejut apabila ramai mangsa lemas.

“Semua dokumen pengenalan diri kami hilang dan selepas ini keadaan akan menjadi lebih sukar untuk kami,” katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment