My Add

Thursday 2 February 2012

Syarikat kawal stadium diganti

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 02 Februari, 2012: Kerajaan negeri akan melantik syarikat keselamatan lain untuk mengawal Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, berikutan kejadian kecurian pendawaian elektrik, sistem elektronik dan kelengkapan lain, termasuk dua set jana kuasa di stadium berkenaan. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan syarikat keselamatan sekarang yang dipertanggungjawabkan mengawal stadium berkenaan daripada sasaran pencuri, kini mengeluarkan tender untuk melantik syarikat keselamatan lain.

“Kita tidak sambung kontrak syarikat keselamatan itu yang sudah tamat dan kita sudah mengeluarkan tender baru untuk melantik syarikat keselamatan lain.

“Kejadian kecurian ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita melantik syarikat keselamatan dan pengawal keselamatan. Tetapi tidak tahulah kalau harapkan pagar, pagar makan padi atau dia (pengawal keselamatan) tidur. Kawasan itu besar dan mereka sepatutnya buat rondaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di sini, semalam. 

Beliau berkata, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci sama ada kejadian kecurian di stadium berkenaan yang berleluasa membabitkan pengawal keselamatan di situ. 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, berkata kerajaan negeri sudah membuka tender untuk melantik syarikat keselamatan baru itu sejak November lalu dan kini sedang menunggu rumusan tender bagi memilih syarikat keselamatan yang berkelayakan untuk dilantik. 

“Syarikat itu dilantik kerajaan negeri untuk mengawal kawasan stadium sejak insiden bumbung SSMZA runtuh pada Jun 2009. Kontrak syarikat berkenaan sepatutnya untuk tempoh dua tahun dan berikutan kejadian ini, kita menamatkan perkhidmatan mereka,” katanya di sini, semalam. 

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap syarikat keselamatan berkenaan yang mengambil lewa tanggungjawab menjaga keselamatan SSMZA, Mazlan berkata, pihaknya merujuk kepada terma kontrak sebelum mengambil tindakan itu. 

Sementara itu, Mazlan berkata, kerajaan negeri menjangkakan SSMZA yang sedang dibaik pulih boleh dibuka sepenuhnya pada 2014. 

Katanya, kerja baik pulih stadium itu dibuat mengikut fasa ditetapkan bagi memastikan struktur bangunan berkenaan kukuh dan selamat untuk terus digunakan. 

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengeluarkan tender untuk kerja membaik pulih padang dan tempat duduk dan ia akan diikuti proses menanggalkan bumbung di bahagian tempat duduk sebelah barat yang didapati tidak lagi sesuai untuk digunakan. - BERITA HARIAN 

No comments:

Post a Comment