My Add

Friday 10 February 2012

8 peniaga kecil terima bantuan mesin





LIMA daripada lapan penerima bantuan mesin tebu kelihatan ceria selepas menerima peralatan itu daripada UMNO Bahagian Cheras pada majlis di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Lapan peniaga kecil di Parlimen Cheras telah menerima bantuan peralatan daripada UMNO Bahagian Cheras bagi membantu mereka meningkatkan kegiatan ekonomi mereka.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abdul Syukur berkata, bantuan tersebut diberikan kepada peniaga dan pengusaha kecil yang menjalankan perniagaan berkaitan pertanian dan berpendapatan rendah agar pendapatan dan taraf hidup mereka boleh meningkat.

"Antara bantuan peralatan yang diberikan adalah mesin tebu, mesin pengisar ais dan produk-produk berasaskan pertanian.

"Sebelum bantuan diberikan, kumpulan pemantau terlebih dahulu melakukan kaji selidik terhadap perniagaan yang dijalankan oleh peniaga-peniaga dan pengusaha kecil bagi memastikan mereka benar-benar layak menerima bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan tersebut dalam Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan kepada Peniaga-peniaga Kecil Parlimen Cheras anjuran Biro Penjaja, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar UMNO Bahagian Cheras dengan kerjasama Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Cheras (MPPP) di sini baru-baru ini.

Menurut Mahadi, bantuan peralatan yang diberikan itu merupakan peruntukan yang diberikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan setakat ini lebih 20 pengusaha kecil telah menerima bantuan tersebut.

Sementara itu, penerima mesin tebu, Atan Md. Samat, 65, ketika ditemui berkata, bantuan itu sedikit sebanyak akan membantu dia meningkatkan perniagaan yang dijalankannya kini.

"Saya amat bersyukur kerana sebelum ini tidak pernah menerima bantuan dari mana-mana pihak. Saya juga yakin selepas ini perniagaan yang saya jalankan akan bertambah maju," ujarnya.

Maimunah Saad, 50, yang menerima mesin pengisar ais pula memberitahu, bantuan tersebut harus diperluaskan bagi membantu pengusaha kecil meningkatkan pendapatan mereka.

"Sebelum ini, hasil pendapatan yang saya peroleh melalui jualan nasi lemak dan kuih-muih adalah sekitar RM50. Dengan adanya bantuan ini saya berharap dapat menambah pendapatan harian.

"Saya sangat gembira mendapat bantuan ini memandangkan keadaan kewangan yang tidak mengizinkan untuk membeli mesin tersebut yang berharga ribuan ringgit ," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment