My Add

Monday 27 February 2012

Adnan alu-alukan demo-tourism di Pahang

KUANTAN, AHAD, 26 Februari, 2012: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri Pahang mengalu-alukan demo secara aman di Pahang kerana ia dilihat dapat menjana kegiatan ekonomi kepada pelbagai pihak.

Merujuk kepada Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan di Kuantan hari ini, Adnan berkata, “kerajaan negeri mengalu-alukan” demonstrasi secara aman ini kerana ia menjana kegiatan ekonomi khususnya untuk pengusaha dan peniaga di Kuantan.

"Saya namakan ini Demo-Tourism dan ia patut digalakkan,” katanya menerusi pesanan khidmat ringkas (sms) kepada Bernama di sini, hari ini.

Adnan berkata, setelah Himpunan Hijau selesai, ada tiga perkara boleh dilihat jelas berlaku.

"Pertama, proses dan amalan demokrasi sihat di negara ini. Sesiapa sahaja boleh bersuara dan berhimpun asal tidak melanggar undang-undang. Kedua, pihak berkuasa terutama polis dan Majlis Perbandaran Kuantan bertindak adil dan penuh profesional mempastikan perhimpunan berjalan lancar.

"Ketiga, gerakan Anti Lynas yang berselindung di bawah nama Himpunan Hijau nyata tidak laku. Rakyat tidak percaya dengan pembangkang yang menabur cakap bohong pada setiap masa dan setiap tempat,” katanya.

Himpunan Hijau 2.0 yang berlangsung di padang MPK 4 di sini hari ini gagal menarik kehadiran 20,000 orang seperti disasarkan apabila hanya kira-kira 3,000 orang hadir pada perhimpunan bagi membantah operasi kilang nadir bumi Lynas.

Himpunan itu adalah bagi membantah syarikat Lynas Advanced Material Plants yang telah diberikan lesen untuk beroperasi sementara. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment