My Add

Monday 27 February 2012

Peruntukan RM2j bagi bina Rumah Mesra Rakyat di Maran

MARAN, AHAD, 26 Februari, 2012: Kerajaan pusat memperuntukkan RM2 juta bagi membina 40 buah Rumah Mesra Rakyat untuk keluarga miskin di daerah Maran tahun ini.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Mutalib berkata, keutamaan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

"Kos untuk setiap sebuah rumah ialah sebanyak RM60,000, kerajaan akan menanggung sebanyak RM46,000 daripada harga kos rumah itu, manakala baki RM14,000 dibayar pemiliknya dengan kadar bayaran sebanyak RM150 sebulan sehingga selesai pembayaran,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci kepada 10 pemilik rumah mesra rakyat di sini.

Ismail berkata, langkah kerajaan membina rumah tersebut adalah bagi membolehkan rakyat memiliki kediaman yang selesa.

"Rakyat pendapatan RM3,000 ke bawah berpeluang memiliki rumah itu sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Perdana Menteri prihatin dan mahu melihat rakyat berpendapatan kecil dan sederhana dapat memiliki rumah kerana hanya dengan memiliki rumah dapat melahir rakyat dan keluarga bahagia dan berkualiti sekali gus memacu ekonomi negara,” katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment