My Add

Wednesday 22 February 2012

Anggota Imigresen menyamar pelanggan berkas pekerja asing

Oleh NURUL HUDA HASSAN

JOHOR BAHRU, SELASA, 21 Februari, 2012: Tindakan anggota Jabatan Imigresen negeri menyamar sebagai pelanggan di kedai makan membuahkan hasil apabila tujuh rakyat asing berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan di sini tengah malam tadi.

Dalam operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) selama dua jam bermula pukul 12.45 tengah malam itu, empat lelaki warga Thailand berjaya ditahan di kedai tom yam di Taman Sri Lalang, Kota Tinggi.

Dua lagi lelaki dari negara jiran berkenaan dan seorang wanita Indonesia juga ditahan di sebuah kedai makan di Kebun Teh di sini.

Difahamkan, dalam operasi membabitkan 15 anggota jabatan itu, rakyat asing terbabit cuba melarikan diri sejurus menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, namun gagal kerana telah dikepung.

Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri, Khairulanwar Abu Bakar berkata, kesemua rakyat asing terbabit yang berusia 19 hingga 38 tahun itu didapati bekerja di negara ini tanpa pas dan permit yang sah.

“Hasil siasatan awal mendapati, mereka yang bekerja sebagai tukang masak dan pembantu kedai memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, ada antara mereka memasuki negara ini secara berulang-alik melebihi tiga bulan dan ada menggunakan pas sempadan yang hanya membenarkan mereka berada pada jarak 25 kilometer dari sempadan.

Kesemua rakyat asing itu kini ditahan di Ibu Pejabat Imigresen negeri di Setia Tropika, di sini mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan 39B Peraturan-peraturan Imigresen. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment