My Add

Friday 24 February 2012

BN lebih dulu desak hapus kutipan tol


AHMAD Nawawi Md. Zin (kiri) menjelaskan kepada wartawan mengenai status gesaan pemansuhan kutipan tol di dua plaza oleh UMNO dan BN di Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 23 Feb. – Parti pembangkang tidak sewajarnya mendabik dada mendakwa kononnya mereka adalah juara memperjuangkan isu penghapusan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Lebuh Raya Persekutuan yang membebankan para pengguna.

Penyelaras Parlimen Barisan Nasional (BN) Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md. Zin berkata, sebenarnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah lama memperjuangkan isu tersebut kerana ia merupakan masalah utama dihadapi penduduk.

“Jadi tidak benarlah tuduhan pihak tertentu dalam laman-laman blog propembangkang menyatakan BN masih ‘hijau’ dalam perjuangan memansuhkan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau.

“Malah, kami juga telah membuat desakan tentang apakah status memorandum yang dihantar kepada kerajaan bagi menghapuskan kutipan tol berkenaan dan mahu keputusan dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat khas pemansuhan kedua-dua tol tersebut di sini hari ini.

Hadir sama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, Zulkurnain Roslan dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Shah Alam, Shuratini Abdul Rahman.

Menurut Ahmad Nawawi, beliau sendiri telah menyerahkan memorandum tersebut kepada Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Datuk Ashaari Ibrahim pada perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam pada Jun tahun lalu.

“Para pengguna jalan raya terutamanya yang tinggal di Shah Alam sudah lama terbeban dengan kutipan tol di kedua-dua plaza tersebut iaitu perjalanan sehala dari Kuala Lumpur ke Shah Alam sebanyak RM1.10 dan seterusnya ke Klang sebanyak RM1.

“Hampir 20 tahun tol Batu Tiga dan Sungai Rasau beroperasi dan hasil kajian dan pemerhatian kami, syarikat konsesi, Plus Expresway Berhad telah mengaut banyak keuntungan daripada pengguna,” katanya.

Kata beliau, sebagai pemimpin BN di kawasan ini, pihaknya bertanggungjawab untuk menyampaikan rasa hati rakyat yang sering mengeluh kerana terpaksa menanggung kos hidup semakin meningkat saban tahun.

“Kami sedar kerajaan telah banyak meringankan beban rakyat melalui pelbagai bantuan dan sumbangan sebagaimana dibentang dalam Bajet 2012 namun sekiranya tol tersebut dapat dihapuskan, ia akan meringankan beban rakyat bagi jangka masa panjang,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment