My Add

Friday 24 February 2012

150,000 dijangka kunjungi Karnival Wow! Putrajaya 2012

SAMSUDIN Osman (kanan) beramah mesra dengan sebahagian peserta pameran ketika meninjau persiapan Karnival Wow! Putrajaya 2012 di Laman 1Malaysia, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

PUTRAJAYA, KHAMIS, 23 Februari, 2012: Perbadanan Putrajaya (PPj) menyasarkan kira-kira 150,000 orang akan mengunjungi Karnival Wow! Putrajaya 2012 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Tapak Pasar Tani, Presint 2.

Presiden PPj, Tan Sri Samsudin Osman berkata, sasaran PPj untuk menarik kira-kira 100,000 pengunjung pada tahun lepas berjaya melepasi sasaran pada hari terakhir karnival.

Katanya, PPj berharap senario tersebut berterusan pada tahun ini memandangkan pelbagai aktiviti menarik diadakan demi penambahbaikan karnival tahunan itu.

“Saya percaya sasaran tersebut akan dapat dipenuhi. Orang ramai perlu mengambil peluang ini kerana pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti gerai jualan, pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan dan konsert.

“Karnival kali ini juga dilihat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Putrajaya lebih ceria dan bertenaga terutama selepas waktu pejabat dan hujung minggu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak karnival hari ini.

Menurut Samsudin, pelbagai acara menarik berkonsepkan sambutan yang meriah dan berwarna-warni akan dipertontonkan kepada pengunjung.

“Lebih 200 gerai jualan dan pameran disediakan oleh PPj, dan saya yakin pengalaman menyeronokkan akan dirasai sepanjang karnival tersebut berlangsung,” katanya.

Antara program menarik adalah persembahan Tatu Angkatan Tentera Malaysia, pertunjukan belon udara panas, pameran simulator F1 dan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan.

Maklumat lanjut mengenai Karnival Wow! Putrajaya 2012 dan pertandingan yang dianjurkan boleh diperoleh di laman web PPj di www.ppj.gov.my - UTUSAN

No comments:

Post a Comment