My Add

Friday 24 February 2012

BN Sarawak perlu bantu SUPP dapat sokongan - Muhyiddin

BINTULU, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak diminta membantu sedaya mungkin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mendapat kembali sokongan pengundi bandar, yang mengelak daripada menyokong parti itu dalam pilihan raya negeri tahun lepas, dan mengukuhkan gabungan itu dalam persiapan bagi pilihan raya umum Parlimen akan datang.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom berkata, nasihat itu diberikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu perjumpaan dengan parti komponen BN Sarawak di sini, hari ini.

Perjumpaan itu dihadiri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri James Masing; Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Tan Sri William Mawan Ikom dan pemimpin kanan parti komponen BN Sarawak yang lain.

"Dalam perjumpaan itu, Timbalan Perdana Menteri meminta parti-parti komponen negeri membantu memulihkan SUPP bagi mendapatkan semula apa yang mereka telah hilang dan mengekalkan apa yang mereka ada.

“Dengan demikian, Datuk Peter Chin (Presiden SUPP) berjanji untuk bekerja keras dan berharap parti-parti komponen lain bekerjasama dengan beliau, yang mana kita memang bersedia berbuat demikian,” katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas perjumpaan tertutup itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment