My Add

Friday 24 February 2012

TM sasar 400,000 pelanggan UniFi menjelang akhir tahun

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 24 Februari, 2012: Telekom Malaysia Bhd, yang mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM1.001 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2011, menyasarkan untuk merekodkan 400,000 pelanggan UniFi menjelang akhir tahun.

Sasaran itu adalah berasaskan kadar 1,000 pemasangan sehari, katanya kepada Bursa Malaysia hari ini.

TM berkata, 2010 merupakan tahun yang baik dari segi pertumbuhan jalur lebar, terutama UniFi, dengan bilangan pelanggan jalur lebar seramai 1.92 juta, termasuk 236,501 pelanggan UniFi sehingga 31 Disember.

Walaupun ekonomi dunia tidak menentu dan saingan hebat dijangkakan dalam landskap telekomunikasi, kumpulan itu mengunjurkan persekitaran perniagaannya bagi tahun kewangan 2012 kekal positif.

Keuntungan sebelum cukai TM bagi tahun kewangan 2011 susut kepada RM1.001 bilion berbanding RM1.360 bilion yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan bagaimanapun meningkat 4.1 peratus kepada RM9.151 bilion berbanding RM8.791 bilion sebelumnya, disebabkan perolehan yang lebih tinggi daripada Internet dan multimedia, data dan perkhidmatan lain berkaitan telekomunikasi. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment